Monday, February 28, 2011


Kilang padi 24 jam



STOK padi di negeri-negeri di utara menyumbang 48 peratus bekalan beras negara.


MASYARAKAT Malaysia sudah terbiasa mengisi perut dengan nasi sehingga ia menjadi hidangan wajib bermula daripada sarapan pagi hinggalah makan malam. Malah, ada yang mengadu badan tidak bertenaga jika tidak menjamah nasi.
Namun beras bagi Pengurus Besar Sektor Perniagaan Beras Tempatan, Padiberas Nasional Bhd. (Bernas), Amiruddin Tajuddin bukan sekadar nasi tetapi ia begitu dekat di hatinya.
Apatah lagi sudah beberapa tahun beliau terlibat secara langsung memproses padi menjadi beras di kilang Bernas di negeri-negeri utara Semenanjung.
Para pesawah di utara kini sedang sibuk menuai padi yang mula masak.
Walaupun ada petani yang rugi besar selepas tanaman mereka musnah akibat banjir baru-baru ini, Perlis, Kedah dan Pulau Pinang masih menyumbang sebanyak 48 peratus hasil bekalan beras dalam negara atau 400,000 tan beras pada musim yang akan berakhir Mac ini.
“Pesawah sudah mula menghantar hasil tuaian masing-masing dan mereka boleh memilih sama ada menghantar kepada Bernas atau kilang swasta.
Sibuk
“Kita sudah bersedia untuk menghadapi saat-saat ini dan dijangka operasi kilang menjadi lebih sibuk pada bulan depan,” tambahnya.
Kilang beras tidak seperti pejabat dengan pendingin hawa sentiasa terpasang. Di sini, habuk padi mendominasi hampir di semua ceruk. Para pekerja perlu memakai topeng muka lebih-lebih lagi semasa memunggah padi daripada lori.
Di kilang Bernas di Alor Setar misalnya, padi yang baru dituai akan ditimbang dan seterusnya mutu padi akan dikenal pasti berdasarkan kandungan padi muda di samping kotoran seperti jerami dan sekam.
Mesin pemisah akan digunakan untuk mengasingkan padi masak daripada bahan kotoran lain dan ia sekali lagi diasingkan sendiri oleh pegawai kualiti secara manual menggunakan tangan.
Wap air pada bijiran padi pula diukur menggunakan meter kelembapan.
Harga belian padi oleh Bernas akan mengikut timbangan yang dibuat ke atas padi masak selepas ditolak kandungan padi muda, kekotoran serta kelembapan.
PADI yang baru siap dituai akan dihantar terus ke kilang untuk diproses.


Suhu
Kadar ukuran tersebut adalah selaras dengan standard yang diguna pakai oleh negara-negara di rantau Asia.
Amiruddin berkata, stok padi itu kemudian akan dilonggokkan di satu tempat sebelum dimasukkan ke dalam jentera pembersih untuk mengasingkan padi masak dengan kotoran dan bahan asing lain.
“Hanya bijirin yang boleh menjadi beras akan melalui proses pengeringan seterusnya,” katanya kepada Jurnal.
Menurut beliau, padi masak akan dikeringkan menggunakan udara panas sehingga 40° Celcius yang dihasilkan daripada pembakaran sekam padi menggunakan mesin relau sekam siklonik (CHF).
“Kebiasaannya padi yang dibeli di pintu kilang beras Bernas mengandungi air melebihi 20 peratus dan ia perlu dikeringkan dengan segera bagi memastikan mutu padi tidak jatuh.
“Proses pengeringan mengambil masa kira-kira 18 jam sehingga wap basah bijirin padi turun antara 12 peratus hingga 14 peratus,” katanya.
Selepas itu, katanya, stok padi akan disimpan di gudang simpanan khas dan pemantauan terhadap kandungan wap basah, suhu padi dan jangkaan kualiti beras dilakukan secara berterusan agar kualiti padi terjamin.
“Proses simpanan padi ini perlu diawasi dengan baik agar stok padi itu boleh menghasilkan beras yang berkualiti tinggi,” jelasnya.
Dari gudang, ia akan mengalami satu lagi proses pembersihan menggunakan mesin yang berfungsi seperti pengayak dengan mengasingkan lebihan kotoran seperti padi hampa dan jerami yang tertinggal.
Seterusnya, padi masak akan dikupas kulit menggunakan mesin khas dan setelag selesai proses itu, padi akan bertukar menjadi beras perang.
Permukaan beras masih berwarna keperangan kerana ia diliputi dedak yang sebenarnya ber khasiat.

PADA musim menuai, kilang padi Bernas di Jitra, Kedah ini boleh memproses 250 tan padi sehari.


Gred
Menurut Amiruddin, proses membersihkan dedak pada bijiran beras adalah perlu kerana rasanya yang kurang enak.
“Proses itu dipanggil pemutihan dan ia menggunakan mesin yang boleh menjadikan beras bertukar kepada warna putih bersinar,” katanya.
Ujarnya, setelah selesai proses pemutihan, beras akan digredkan mengikut gred Super Tempatan 15 peratus (ST15).
“Di kilang Bernas ini, kita hanya proses beras mengikut gred ini dengan kandungan 85 peratus padi kepala beras dan 15 peratus lagi beras hancur,” katanya.
Beras yang sudah siap digredkan akan dikampitkan mengikut saiz yang ditetapkan seperti 1,000 kilogram (kg) menggunakan beg jumbo atau 10kg menggunakan kampit plastik.
Tambahnya, sebelum menunggu beras dijual kepada pemborong, ia perlu dijaga rapi bagi mengelakkan stok beras siap proses tersebut diserang makhluk perosak.
Mengguna pakai sekam sebagai bahan api untuk menghasilkan udara panas bagi proses pengeringan padi amat menjimatkan berbanding penggunaan bahan api diesel pada empat tahun lalu.
Menurut Amiruddin, teknologi pembakaran sekam menggunakan mesin CHF yang diguna pakai sejak tahun 2006 itu sangat menjimatkan kerana bahan bakarnya ialah kulit padi iaitu sekam.
Katanya, teknologi yang digunakan sekarang adalah melibatkan pembakaran sekam dan udara panas yang terhasil akan dialirkan ke tong-tong besar berisi padi untuk dikeringkan.
“Kebanyakan mesin di kilang Bernas adalah buatan Jepun dan India,” jelasnya sambil memberitahu Bernas memiliki sebanyak 31 kilang padi di seluruh negara.
Menurut Amiruddin, kilang akan beroperasi selama 24 jam sehari sepanjang musim menuai dengan keupayaan memproses sehingga 250 metrik tan padi sehari.

Saturday, February 26, 2011


Gelombang politik Asia Barat



SIAPAKAH pemimpin yang akan digulingkan selepas Hosni Mubarak? Mampukah rakyat Iran menggugat pemerintahan Presiden Mahmoud Ahmadinejad atau berjayakah Yemen menuntut pembaharuan politik sekali gus peletakan jawatan Presiden Ali Abdullah Saleh?
Teka-teki kini bermain di fikiran masyarakat dunia mengenai kepincangan pemerintahan di negara-negara di Asia Barat. Ternyata, rakyatnya enggan menunggu lama untuk memperjuangkan hak mereka sebagai rakyat yang ditindas selama ini.
Penggulingan Hosni Mubarak hasil demonstrasi pembangkang itu ternyata bukan penutup tirai pemberontakan di Mesir. Ibarat tsunami, gelombangnya telah menghempas kerusi-kerusi pemerintahan pemimpin negara Asia Barat sehingga mereka tidak lagi dapat duduk dengan selesa.
Pemberontakan kumpulan pembangkang di Mesir adalah pencetus yang membangkitkan suara rakyat di negara-negara Asia Barat yang selama ini membatu. Mesir menjadi teladan kepada jiran-jirannya di sekiranya mereka mahu pembaharuan berlaku dengan pantas.
Di Teheran, Iran, ketua pembangkangnya, Mahdi Karroubi berkata, dia sanggup membayar apa juga harga bagi membawa perubahan demoktarik kepada negara berkenaan menerusi demonstrasi jalanan yang diketuainya.
Tindakan yang mungkin membawa Karroubi ke tali gantung itu bukan sahaja bagi menyokong pemberontakan yang dilancarkan oleh penduduk di Mesir tetapi untuk membuka pekung pemerintahan pemimpin negara berkenaan, Presiden Mahmoud Ahmadinejad.
AHMADINEJAD turut terkena tempias gelombang pembangkang di Iran.


Dalam kejadian sama yang membabitkan beribu-ribu aktivis pembangkang Iran, dua individu maut sementara beberapa yang lain mengalami kecederaan manakala berpuluh-puluh penunjuk perasaan telah ditahan kerana menyertai protes haram yang bertujuan menguji kekuatan kumpulan reformis di republik Islam tersebut.
Laungan Allahu Akbar kedengaran dari atas bumbung beberapa bangunan di Teheran dalam mengenang kejadian protes yang dilancarkan ke atas Presiden Mahmoud Ahmadinejad pada 2009.
Tunjuk perasaan jalanan besar-besaran yang berlarutan selama sebulan itu dan mengakibatkan lapan orang maut, selain beberapa penangkapan serta pelaksanaan hukuman mati.
Laporan Fars mengenai keganasan penunjuk perasaan itu jelas menggambarkan pendirian keras pihak berkuasa untuk membendung kebangkitan semula pihak pembangkang.
Penunjuk perasaan
"Dua individu ditembak mati oleh penunjuk perasaan yang mengadakan perhimpunan di Teheran, manakala beberapa yang lain mengalami kecederaan," lapor Fars tanpa memberikan butiran terperinci.
Bagaimanapun, pendirian pihak berkuasa sehingga menyebabkan kematian itu hanya menyemarakkan lagi semangat aktivis pembangkang yang mahu kemenangan seperti dinikmati pemberontak Mesir turut berlaku di Iran.
Beberapa penunjuk perasaan di Iran melaungkan, 'Mati kepada diktator' semasa protes yang berlarutan di sesetengah kawasan sehingga lewat malam itu.
Gelombang pemberontakan yang turut memasuki Bahrain bagi mencabar pemerintahnya di negara Teluk yang merupakan sekutu penting Barat selain menempatkan Armada kelima tentera laut Amerika Syarikat (AS).
Kemiskinan dan kadar pengangguran yang tinggi telah memberi tekanan kepada rakyat Bahrain yang merupakan pengikut mazhab Syiah.
"Rakyat mahu rejim digulingkan," laung penunjuk perasaan sambil menumbuk dada mereka yang melambangkan simbol pengorbanan dan kesedihan.
"Kami menuntut hak kami secara aman. Saya yakin kehadiran kami dalam jumlah besar akan membolehkan hasrat kami tercapai," kata seorang pelajar universiti, Bakr Akil, 20, yang memakai kain selimut berlumuran dakwat merah dalam satu demonstrasi.
Penunjuk perasaan mendakwa pemerintah dari puak Sunah yang memerintah negara tersebut telah mengenepikan mereka daripada mendapat kemudahan perumahan, penjagaan kesihatan dan pekerjaan dalam sektor awam.
Ketika ini, penunjuk perasaan mahu Perdana Menteri, Sheikh Khalifa Salam al-Khalifa berundur berbanding Raja Hamad Isa al-Khalifa yang mempunyai kata putus dalam politik.
Terdahulu, kekerasan pihak berkuasa telah menyebabkan kehilangan nyawa seorang. Ali Abdulhadi Mushaima, 21 menjadi korban pertama selepas demonstrasi besar-besaran yang diadakan di Teluk selepas kejatuhan Presiden Hosni Mubarak di Mesir.
Ali terbunuh selepas ditembak semasa pertempuran dengan pasukan keselamatan yang cuba menyekat protes Hari Kemarahan bagi menuntut kebebasan dan hak politik lebih luas daripada kerabat diraja yang memerintah Bahrain.
RAKYAT Bahrain terutama penyokong Syiah mengibarkan bendera kebangsaan mereka di Dataran Pearl, Manama.


Bantahan meningkat
Sekurang-kurangnya 25 orang cedera dalam pertempuran itu, dua daripada mereka dilaporkan dalam keadaan kritikal selepas terkena tembakan.
Bagaimanapun, seorang lagi pemuda maut selepas menyertai perhimpunan perarakan jenazah Ali dalam protes besar-besaran awal minggu ini. Dia meninggal dunia akibat terkena tembakan peluru penabur yang dilepaskan semasa kekecohan berlaku.
Kematian lelaki itu bakal meningkatkan protes dan hanya memarakkan api kebencian kepada pemerintah di Bahrain.
Bahrain yang majoriti rakyatnya bermazhab Syiah diperintah oleh kerabat diraja Sunah pimpinan Raja Hamad Al-Khalifa yang menguasai jawatan Perdana Menteri dan kementerian-kementerian penting.
Pertempuran di Yemen juga adalah bagi menuntut pembaharuan politik dan peletakan jawatan Presiden Ali Abdullah Saleh.
Di kalangan 23 juta rakyat di negara itu, 40 peratus hidup dengan pendapatan kurang daripada AS$2 (RM6.20) sehari, satu pertiga mengalami kelaparan kronik dan satu dalam dua orang memiliki senjata api.
"Revolusi lebih mudah berlaku di Yemen berbanding di Mesir kerana kemiskinan di sini lebih teruk dan lebih ramai rakyat yang kelaparan," kata Tawakul Karman yang merupakan pengerusi Wartawan Wanita Tanpa Rantai.
Penunjuk perasaan yang kebanyakannya pelajar universiti, peguam dan aktivis hak asasi itu melaungkan slogan mengutuk Saleh dan samseng-samseng presiden itu.
"Rakyat mahu menggulingkan rejim," laung mereka yang mengulangi slogan penunjuk perasaan di Mesir. Sepasukan kecil polis cuba menyuraikan penunjuk perasaan dengan gas pemedih mata dan belantan tetapi mereka meneruskan perarakan dari Universiti Sanaa menuju ke pusat bandar.
Ramai anggota polis dan hampir 2,000 penyokong kerajaan menantikan penunjuk perasaan tersebut di pusat bandar Sanaa. Tetapi, demonstrasi itu dijangka bertambah besar apabila ratusan lagi pelajar dan aktivis menyertai perarakan di ibu kota ini.
Awal minggu ini, batu dilontar dan belantan diayunkan di tengah Sanaa apabila penunjuk perasaan bertempur dengan polis dan penyokong Saleh. Pertempuran antara polis dengan beribu-ribu penunjuk perasaan juga tercetus di bandar Taez, selatan Sanaa semalam, menyebabkan kecederaan.
Sementara itu, Presiden Barack Obama dalam pendiriannya ke atas pemberontakan yang berlaku di negara-negara Asia Barat memberitahu, beliau percaya bahawa pemilikan kuasa se cara paksaan tidak akan bertahan lama, merujuk kepada pemerintahan Mesir di bawah Hosni Mubarak yang tidak direstui sebahagian rakyatnya.
Kuasa moral
Beliau berkata, pengajaran yang dapat diambil oleh semua negara ialah, mereka hanya dapat melihat perubahan yang berkekalan dan mendapat sokongan dalaman dan anta rabangsa, apabila ia datang melalui kuasa moral. Beliau bagaimanapun berdiam diri mengenai siapa yang harus mengambil alih pemerintahan Mesir serta perubahan yang harus dilakukan.
Dalam pada itu, pergolakan yang berlaku di negara-negara Asia Barat telah menimbulkan kebimbangan Israel seandainya ia mampu memandu agenda anti-Israel oleh rakyat Mesir. Jurucakap AS John Boehner memberi jaminan bahawa mereka akan berdiri di belakang Israel yang di anggap berkongsi nilai yang sama sekali gus mementang musuh sama dalam bentuk keganasan ekstrem.
"Orang-orang Israel telah banyak berkorban demi keamanan dan kestabilan. Dengan perubahan yang pantas berlaku di Asia Barat, AS akan bergabung dengan Israel bagi mengekalkan keamanan dan kestabilan di rantau berke naan," katanya.
Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr. Mohamad Agus Yusoff ketika dihubungi berkata, kerajaan yang gagal memenuhi tuntutan asas rakyatnya sebaiknya turun daripada takhta pemerintahan supaya dapat digantikan dengan kerajaan baru yang lebih baik.
"Negara-negara Asia Barat yang selama ini berdiam diri mendapat ilham selepas kejatuhan Hosni Mubarak untuk menuntut hak-hak mereka yang selama ini diabaikan oleh pemerintah negara setelah sekian lama.

KEMISKINAN di Yemen menyebabkan rakyatnya bangkit untuk menuntut perubahan.


"Selagi tuntutan mereka tidak dipenuhi, pemberontakan tidak akan berakhir tetapi merebak dengan pantas bukan sahaja di negara-negara Asia Barat tetapi juga di negara-negara lain seperti Algeria," katanya.
Menurut beliau, penduduk di negara terbabit berhadapan masalah luar biasa sejak sekian lama terutama jurang taraf hidup yang terlalu luas. Dengan erti kata lain, ada masyarakat kaya yang semakin kaya dan masyarakat yang hidup miskin dan semakin melarat.
"Masalah kemiskinan tegar, pengangguran yang tinggi, pendapatan yang terlalu rendah telah mendesak golongan yang selama ini ditindas dan hak mereka dinafikan bangkit menuntut keadilan serta tidak peduli lagi dengan ancaman yang bakal dihadapi," katanya.
Tambah Agus, perkara paling mustahak yang dituntut golongan berkenaan ialah perubahan yakni kehidupan yang lebih selesa dan ruang untuk terlibat dalam politik.
"Dua perkara ini adalah asas yang dapat menyelamatkan sesebuah kerajaan daripada digulingkan. Selagi perut rakyat dijaga, tiada yang hidup dalam kelaparan selagi itu kerajaan akan selamat," katanya.
Selain itu, masalah korupsi tidak dapat dielakkan sekiranya pemerintah yang sama menduduki kerusi pemerintahan melebihi dua penggal.
"Pemerintah tidak seharusnya meneraju negara melebihi dua penggal. Sekiranya mereka masih berkuasa melebihi sepuluh tahun, akan berlaku masalah rasuah secara berleluasa," katanya.

Thursday, February 24, 2011


Karima mengaku skandal seks dengan Ronaldo




KARIMA El MAHROUG


ROM - Seorang penari gelek, Karima El Mahroug, 18, yang mempunyai hubungan mesra dengan Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi mengaku dia pernah menjalin hubungan seks dengan bintang bola sepak Portugal, Cristiano Ronaldo, lapor sebuah akhbar semalam.
Pengakuan tersebut dibuat Karima kepada pihak pendakwa raya yang melakukan siasatan sama ada perdana menteri itu pernah membuat bayaran kepadanya untuk melakukan hubungan seks.
Karima yang berketurunan Maghribi dan menggunakan nama komersial Ruby Rubacuori memberitahu, dia dan Ronaldo mengadakan hubungan seks selepas mereka bertemu di sebuah kelab malam.
Karima mendakwa, dia hanya berusia 17 tahun ketika bertemu dengan Ronaldo di sebuah hotel di Milan pada Januari 2010.
Menurutnya, sebaik sahaja dia bangun selepas aktiviti itu, Ronaldo yang merupakan bekas pemain kelab Manchester United (MU) itu sudah menghilangkan diri sambil meninggalkan wang tunai berjumlah 4,000 euro (RM16,625).
Akibat kecewa dengan tindakan Ronaldo, Karima mencurahkan minuman champagne kepada Ronaldo selepas mereka terserempak di sebuah kelab.
Bagaimanapun, Ronaldo yang dibeli Real Madrid dari MU dengan nilai 94 juta euro (RM390.15 juta) pada Jun 2009 itu menafikan tuduhan tersebut.
Dalam kenyataan Ronaldo menerusi laman maya GestiFute yang merupakan firma yang mewakili dirinya menjelaskan: "Beberapa media antarabangsa bertanya kepada saya tentang skandal seks bersama Karima yang sebelum ini mencipta kontroversi dengan kes Perdana Menteri Itali mengenai bayaran tutup mulut dan soal bawah umur.
"Laporan itu tidak benar sama sekali. Saya sendiri tidak mengenali wanita muda yang dimaksudkan ini. Saya juga tidak pernah bertemu, mengadakan janji temu atau terserempak dengannya sebelum ini. Buktinya, saya sedang mengadakan latihan bersama Real Madrid pada 29 Disember 2009.
"Secara fakta masa di antara Disember 2009 dan Jun 2010, saya tidak pergi ke Milan. Saya hanya menjadi mangsa akibat satu lagi laporan palsu. Namun, saya tidak akan sekadar berdiam diri terhadap sesiapa yang cuba mereka-reka cerita sambil memburukkan reputasi saya demi kepentingan peribadi mereka."
Karima baru-baru ini mengejutkan umum apabila dia dikaitkan dalam skandal seks dengan Berlusconi, 74.
Berlusconi, 74, akan dibicarakan di Itali pada April depan berhubung skandal seksnya dengan Karima semasa dia berumur 17 tahun oleh pihak pendakwa raya Milan. - Agensi