Friday, October 22, 2010

Penyu nyaris jadi lauk nelayan


DUA anggota Jabatan Perikanan menunjukkan dua ekor penyu karah yang dirampas dari sebuah bot nelayan Vietnam di Kuantan, Pahang semalam.


KUANTAN – Dua ekor penyu karah nyaris dijadikan hidangan oleh sekumpulan sepuluh nelayan warganegara Vietnam jika haiwan marin yang dilindungi itu tidak dijumpai Jabatan Perikanan Pahang di sini semalam.
Penolong Pegawai Perikanan, Wan Rossly Wan Yahya berkata, kedua-dua penyu tersebut ditemui pada pukat tunda yang dibiarkan terendam di dalam laut semasa pihaknya memeriksa bot nelayan Vietnam itu.
“Pemeriksaan membabitkan tujuh anggota Jabatan Perikanan dilakukan ke atas bot yang mencurigakan itu di Kompleks Pendaratan Ikan Kuantan pada pukul 8.45 pagi tadi (semalam) menemui dua ekor penyu yang dipercayai cuba disembunyikan.
“Penyu itu kemudian dirampas untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 27(1) Akta Perikanan 1985 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000,” katanya semasa ditemui pemberita di Pangkalan Jabatan Perikanan Pahang di sini.
Tambah Wan Rossly lagi, pihaknya percaya penyu seberat kira-kira empat kilogram setiap seekor tersebut akan dijadikan makanan oleh nelayan asing berumur 30 hingga 50 tahun terbabit.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

1.5 juta Toyota dipanggil balik


TOYOTA Lexus RX330 keluaran 2006 ini adalah antara model yang dipanggil balik akibat masalah teknikal.


TOKYO - Syarikat Toyota Motor Corp. terpaksa memanggil semula 1.53 juta kenderaannya di seluruh dunia, kebanyakan di Amerika Syarikat (AS) dan Jepun, berikutan masalah bendalir brek dan pam bahan api.
Kedua-dua masalah itu boleh menyebabkan sejumlah kecil bendalir brek bocor perlahan-lahan yang mengakibatkan lampu amaran brek menyala dan keupayaan membrek kurang efisien
Satu kenyataan syarikat itu semalam memberitahu, ia membabitkan 740,000 buah kenderaan di AS dan 599,000 unit lagi di Jepun manakala bakinya di seluruh dunia.
Antara model yang dipanggil balik ialah Avalon bagi tahun 2005 dan 2006.



Turut terlibat ialah model Highlander bukan hibrid keluaran 2004, Lexus RX330, Lexus GS300, IS250 dan IS350 keluaran 2006.
Sementara itu di Jepun, model yang dipanggil balik ialah Crown, Crown Majesta, Harrier, Mark X, Alphard, Kluger, Lexus GS350, Lexus IS250 dan Lexus IS350 yang dikeluarkan dari Mei 2002 hingga November 2005.

Sementara itu, UMW Toyota Motor Sdn. Bhd. (UMW Toyota) selaku pengedar tunggal kenderaan itu di Malaysia mengesahkan tindakan terbaru syarikat itu tidak membabitkan model Lexus di pasaran tempatan.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.