Tuesday, March 29, 2011


Backpackers pada usia emas



DUA pelancong asing bersiar-siar di kuil Kalupur Swaminarayan Temple di Ahmedabad, India.


LAZIMNYA aktiviti backpackers digemari oleh anak- anak muda. Namun sejak kebelakangan ini, senarionya sudah berubah. Kini, warga emas dan pesara dilihat mendominasi kembara di negara-negara Asia.
Dengan wang dan masa yang mencukupi, kelibat pelancong-pelancong warga emas dari Barat banyak ditemui di jalan-jalan utama di India dan China.
Sesungguhnya, semangat kembara golongan warga emas sangat tinggi. Pengembara warga emas itu juga dikatakan masih ghairah menggali pengetahuan. Mereka juga tidak kisah dengan tempat tidur.
"Ini merupakan sektor yang semakin berkembang. Warga emas menggunakan duit pencen mereka dan merancang percutian dengan melawat tempat-tempat yang menarik," ujar Karan Ahmad yang merupakan eksekutif pelancongan Syarikat Cox and King di New Delhi, India.
Seorang lagi ejen pelancongan yang hanya mahu dikenali sebagai Anand berkata, kebanyakan pelancong yang berumur 55 tahun ke atas mempunyai keutamaan yang berbeza berbanding pengembara muda.
Golongan itu menolak untuk ke pantai seperti di Goa. Mereka lebih berminat mengetahui budaya tempatan dan hotel-hotel yang bersejarah berbanding hotel mewah.
"Mereka mencari pengalaman dan ketenangan. Pada masa yang sama mereka memerlukan seorang pemandu pelancong yang memiliki banyak pengetahuan.
"Jadi, mudahlah pemandu itu memberi penerangan lebih terperinci di kawasan-kawasan yang akan dilawati," katanya.
Menerusi data yang direkodkan pada tahun 2009, sekitar 103,000 warga British yang berumur di antara 55 hingga 64 tahun telah melancong ke India.
Di China, 51,000 pelancong warga emas mengunjungi negara tersebut yang rata-ratanya berminat mengetahui tentang peninggalan berharga di negara Komunis itu.
"Bisnes saya bermula dengan mengambil pelancong muda profesional yang ingin bercuti sebalinya saya menerima banyak panggilan telefon daripada keluarga mereka.
"Tapi tidak kepada pelancong yang berusia. Menariknya, mereka masih mempunyai tahap kecergasan yang luar biasa, berupaya berjalan di taman safari dan ke mana-mana pun," kata Tom Barber yang merupakan pemilik Original Travel.

Berdikari
Tom memberitahu, separuh daripada pelanggannya yang berhasrat ke China dan India terdiri daripada mereka yang berumur 50 tahun ke atas.
KIRI: Kawasan Makam Humayun di New Delhi ini antara tempat yang mendapat perhatian golongan warga emas.


"Sesuatu percutian menjadi menarik jika sebahagian besarnya terdiri daripada pelancong yang berusia. Kebanyakan mereka senang dipandu, tidak membebankan dan sangat berdikari," katanya.
Salah seorang pelanggan Tom ialah Giselle Deuve, 81, yang berasal dari Perancis. Wanita itu bukan saja melawat Makam Humayun yang merupakan destinasi bersejarah di New Delhi tetapi telah mengembara di seluruh India.
Kata Giselle, dia sering melancong seorang diri dan ini merupakan kunjungan kali keduanya ke India.
"Sejak bersara, saya telah dua kali ke China, Vietnam, Sri Lanka dan Bali. Ia satu pengalaman yang hebat kerana kita dapat melihat banyak benda," katanya yang bekerja sebagai pegawai bank di Paris.


"Saya gemar kepada elemen keagamaan di India dan pemandu pelancong telah membawa saya ke tempat-tempat yang berkaitan.
"Seperkara lagi, orang-orang di sini sangat berhemah dengan pelancong yang berumur seperti saya," kata Giselle yang sangat berhati-hati dengan makanan dan minuman di negara itu untuk mengelak jangkitan.
Di China, bilangan hotel yang berkualiti boleh dibilang dengan jari. Bagaimanapun negara itu mempunyai tarikan kepada pelancong-pelancong Barat yang ingin melawat negara itu yang sekian lama mengamalkan dasar tutup pintu kepada orang luar.
Senario di China sebenarnya sama seperti di India. Backpackers di negara itu majoritinya terdiri daripada warga emas.
"Memang benar, pelancong asing di China kebanyakannya terdiri daripada golongan pesara. Bilangannya telah meningkat berbanding lima tahun lalu," ujar wakil agensi China Comfort Travel yang dikenali sebagai Yan.
Tambah Yan, kebanyakan pelancong yang datang bukan secara berkumpulan tetapi lebih gemar berpasangan atau secara solo.


Lebih bertenaga, lasak
Sementara itu, Sean Tripton dari ABTA iaitu sebuah badan perdagangan agensi perjalanan dan pelancongan Britain berkata, sejak tiga dekad lalu, kebanyakan individu yang berumur 50 tahun ke atas akan mencari ruang mengembara ke Eropah.
"Namun sejak kebelakangan ini, kita sudah melihat banyak perubahan. Individu yang bersara tidak mahu terperuk di rumah dan mahu mengembara lebih jauh.
"Dalam kebanyakan kes, kita kadang-kadang melihat orang yang berusia lebih bertenaga dan lasak berbanding pelancong remaja," katanya.
Sean juga memberitahu, pengembara warga emas sebenarnya terdiri daripada mereka yang hidup mewah. Mereka juga telah menjelajah ke negara-negara di seluruh pelosok dunia.
Selain India dan China, negara manakah yang akan menjadi tumpuan pengembara Barat selepas ini? Sean mengandaikan, negara-negara Arab yang sedang bergolak seperti Oman, Syria dan Iran akan menjadi destinasi seterusnya.
"Hampir semua pelanggan yang mahu ke negara berkenaan adalah mereka yang berumur 50 tahun ke atas dan mereka benar-benar mahu ke sana," kata Sean. - AFP