Gelombang politik Asia Barat

SIAPAKAH pemimpin yang akan digulingkan selepas Hosni Mubarak? Mampukah rakyat Iran menggugat pemerintahan Presiden Mahmoud Ahmadinejad atau berjayakah Yemen menuntut pembaharuan politik sekali gus peletakan jawatan Presiden Ali Abdullah Saleh?
Teka-teki kini bermain di fikiran masyarakat dunia mengenai kepincangan pemerintahan di negara-negara di Asia Barat. Ternyata, rakyatnya enggan menunggu lama untuk memperjuangkan hak mereka sebagai rakyat yang ditindas selama ini.
Penggulingan Hosni Mubarak hasil demonstrasi pembangkang itu ternyata bukan penutup tirai pemberontakan di Mesir. Ibarat tsunami, gelombangnya telah menghempas kerusi-kerusi pemerintahan pemimpin negara Asia Barat sehingga mereka tidak lagi dapat duduk dengan selesa.
Pemberontakan kumpulan pembangkang di Mesir adalah pencetus yang membangkitkan suara rakyat di negara-negara Asia Barat yang selama ini membatu. Mesir menjadi teladan kepada jiran-jirannya di sekiranya mereka mahu pembaharuan berlaku dengan pantas.
Di Teheran, Iran, ketua pembangkangnya, Mahdi Karroubi berkata, dia sanggup membayar apa juga harga bagi membawa perubahan demoktarik kepada negara berkenaan menerusi demonstrasi jalanan yang diketuainya.
Tindakan yang mungkin membawa Karroubi ke tali gantung itu bukan sahaja bagi menyokong pemberontakan yang dilancarkan oleh penduduk di Mesir tetapi untuk membuka pekung pemerintahan pemimpin negara berkenaan, Presiden Mahmoud Ahmadinejad.
![]() |
AHMADINEJAD turut terkena tempias gelombang pembangkang di Iran. |
Dalam kejadian sama yang membabitkan beribu-ribu aktivis pembangkang Iran, dua individu maut sementara beberapa yang lain mengalami kecederaan manakala berpuluh-puluh penunjuk perasaan telah ditahan kerana menyertai protes haram yang bertujuan menguji kekuatan kumpulan reformis di republik Islam tersebut.
Laungan Allahu Akbar kedengaran dari atas bumbung beberapa bangunan di Teheran dalam mengenang kejadian protes yang dilancarkan ke atas Presiden Mahmoud Ahmadinejad pada 2009.
Tunjuk perasaan jalanan besar-besaran yang berlarutan selama sebulan itu dan mengakibatkan lapan orang maut, selain beberapa penangkapan serta pelaksanaan hukuman mati.
Laporan Fars mengenai keganasan penunjuk perasaan itu jelas menggambarkan pendirian keras pihak berkuasa untuk membendung kebangkitan semula pihak pembangkang.
Penunjuk perasaan
"Dua individu ditembak mati oleh penunjuk perasaan yang mengadakan perhimpunan di Teheran, manakala beberapa yang lain mengalami kecederaan," lapor Fars tanpa memberikan butiran terperinci.
Bagaimanapun, pendirian pihak berkuasa sehingga menyebabkan kematian itu hanya menyemarakkan lagi semangat aktivis pembangkang yang mahu kemenangan seperti dinikmati pemberontak Mesir turut berlaku di Iran.
Beberapa penunjuk perasaan di Iran melaungkan, 'Mati kepada diktator' semasa protes yang berlarutan di sesetengah kawasan sehingga lewat malam itu.