Saturday, January 9, 2010

Luahan hati anak-anak yatim




kanak-kanak gembira dapat mengekspresikan perasaan mereka di atas kanvas.





MELUAHKAN apa yang terpendam ke atas kanvas adalah antara cara untuk menterjemahkan perasaan yang tersimpan di relung hati.

Bermain dengan warna daripada jaluran-jaluran emosi sedikit sebanyak memberi kelegaan walaupun seorang kanak-kanak.

Apatah lagi yang pernah mengalami kepahitan dalam hidup seperti kehilangan ibu dan ayah.

Malah perbandingan kehidupan yang dilalui oleh seorang anak yang mempunyai ibu bapa dengan kanak-kanak yang hidup sebatang kara atau mempunyai 'kisah-kisah hitam' terlalu banyak bezanya.

Bagi anak-anak yang mempunyai keluarga, agak beruntung kerana memperoleh banyak perhatian, kasih sayang dan dipenuhi keperluan yang diingini berbanding dengan mereka yang kehilangan tempat bergantung dan mengalami hidup dalam kemiskinan.

Sehubungan itu, sesuatu harus dilakukan bagi memberi sedikit sentuhan kasih sayang dan keprihatinan kepada golongan kanak-kanak yang tidak bernasib baik ini.

Baru-baru ini, penghuni tujuh buah rumah anak yatim di sekitar Lembah Klang dijemput oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Persatuan START Selangor dan Wilayah Persekutuan, (sebuah akademi seni) untuk merasai pengalaman melukis menerusi program Paint N Play.

Program Paint N Play ini membolehkan kanak-kanak bermain dengan cat warna dan emosi mereka.
Berekspresi dengan diri sekurang-kurangnya dapat mengurangkan duka yang dirasai.

Kanak-kanak yang rata-ratanya anak yatim itu diberikan peralatan lukisan seperti kanvas, cat air dan palet untuk mengekspresikan apa sahaja yang mereka rasakan.

Bertempat di Milk & Co, bangunan Manulife di Damansara Height, baru-baru ini, kanak-kanak tersebut yang berusia antara lima hingga 17 tahun tidak mensia-siakan peluang yang diberikan itu.
Bagi 70 anak yatim tersebut, inilah pengalaman yang julung-julung kalinya pernah dirasainya.
Menurut Pengarah Urusan Milk &Co, Neal Estavillo, program ini memberi kebebasan kepada kanak-kanak ini meluahkan apa sahaja yang mereka rasai atau apa sahaja yang mereka lihat di atas kanvas.
''Terlalu sukar untuk mereka luahkan isi hati serta ketidakpuasan hati mereka tetapi dengan lukisan kita dapat menyelami hati mereka.

''Lagipun, mereka pun bukan selalu mendapat peluang seperti ini. Selalunya mereka mungkin terikat kepada peraturan tertentu dalam melukis,'' ujarnya serius.

Jelasnya lagi, inilah masanya untuk mereka bebas melukis apa sahaja yang mereka kehendaki.

''Bagi mereka yang gembira, kita dapat melihat mereka melukis bunga, kapal terbang atau binatang.

''Tetapi kita juga berasa sayu apabila melihat ada antara mereka yang melukis rumah, menggambarkan ibu, bapa dan keluarga," katanya yang aktif menjalan aktiviti seni seperti tarian dan juga drama.

Malah menurutnya, terdapat sinaran keterujaan tergambar pada wajah kanak-kanak itu semasa sedang ralik melukis di dinding bangunan tersebut.

Aneka lukisan dapat dilihat daripada cetusan kreativiti dan ekspresi kanak-kanak ini.
Tegas Estavillo, walaupun melukis dilihat sebagai aktiviti yang ringkas namun ia sebenarnya mempunyai kandungan yang tersirat.

''Selain daripada pembelajaran yang formal, lukisan juga boleh mendatangkan ketenangan pada diri sendiri.
"Program seumpama ini juga mampu memberi inspirasi kepada anak-anak yatim supaya mereka meminati bidang lukisan.

''Walaupun ia dilihat tidak mampu pergi lebih jauh namun ia sebenarnya boleh melangkah ke arah lebih jauh,'' katanya.

Selain itu jelasnya, program ini juga merupakan tanggungjawab sosial terhadap anak-anak yatim bagi merealisasikan impian mereka sebagai pelukis.

Memang tidak dinafikan pelajaran adalah penting bagi mereka untuk menjaminkan kehidupan yang lebih sempurna pada masa depan namun lukisan juga sebenarnya mampu memberi ketenangan kepada mereka bagi meluahkan isi hati yang terbuku.

No comments:

Post a Comment