Thursday, February 24, 2011


Karima mengaku skandal seks dengan Ronaldo




KARIMA El MAHROUG


ROM - Seorang penari gelek, Karima El Mahroug, 18, yang mempunyai hubungan mesra dengan Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi mengaku dia pernah menjalin hubungan seks dengan bintang bola sepak Portugal, Cristiano Ronaldo, lapor sebuah akhbar semalam.
Pengakuan tersebut dibuat Karima kepada pihak pendakwa raya yang melakukan siasatan sama ada perdana menteri itu pernah membuat bayaran kepadanya untuk melakukan hubungan seks.
Karima yang berketurunan Maghribi dan menggunakan nama komersial Ruby Rubacuori memberitahu, dia dan Ronaldo mengadakan hubungan seks selepas mereka bertemu di sebuah kelab malam.
Karima mendakwa, dia hanya berusia 17 tahun ketika bertemu dengan Ronaldo di sebuah hotel di Milan pada Januari 2010.
Menurutnya, sebaik sahaja dia bangun selepas aktiviti itu, Ronaldo yang merupakan bekas pemain kelab Manchester United (MU) itu sudah menghilangkan diri sambil meninggalkan wang tunai berjumlah 4,000 euro (RM16,625).
Akibat kecewa dengan tindakan Ronaldo, Karima mencurahkan minuman champagne kepada Ronaldo selepas mereka terserempak di sebuah kelab.
Bagaimanapun, Ronaldo yang dibeli Real Madrid dari MU dengan nilai 94 juta euro (RM390.15 juta) pada Jun 2009 itu menafikan tuduhan tersebut.
Dalam kenyataan Ronaldo menerusi laman maya GestiFute yang merupakan firma yang mewakili dirinya menjelaskan: "Beberapa media antarabangsa bertanya kepada saya tentang skandal seks bersama Karima yang sebelum ini mencipta kontroversi dengan kes Perdana Menteri Itali mengenai bayaran tutup mulut dan soal bawah umur.
"Laporan itu tidak benar sama sekali. Saya sendiri tidak mengenali wanita muda yang dimaksudkan ini. Saya juga tidak pernah bertemu, mengadakan janji temu atau terserempak dengannya sebelum ini. Buktinya, saya sedang mengadakan latihan bersama Real Madrid pada 29 Disember 2009.
"Secara fakta masa di antara Disember 2009 dan Jun 2010, saya tidak pergi ke Milan. Saya hanya menjadi mangsa akibat satu lagi laporan palsu. Namun, saya tidak akan sekadar berdiam diri terhadap sesiapa yang cuba mereka-reka cerita sambil memburukkan reputasi saya demi kepentingan peribadi mereka."
Karima baru-baru ini mengejutkan umum apabila dia dikaitkan dalam skandal seks dengan Berlusconi, 74.
Berlusconi, 74, akan dibicarakan di Itali pada April depan berhubung skandal seksnya dengan Karima semasa dia berumur 17 tahun oleh pihak pendakwa raya Milan. - Agensi

Wednesday, February 23, 2011


Aktif pada usia 100



PERDANA Menteri Itali, Silvio Berlusconi begitu popular di Barat kerana kisah peribadinya yang penuh kontroversi.
Pemimpin yang terkenal dengan imej playboy itu kini berdepan tuduhan melakukan hubungan seks dengan gadis bawah umur iaitu seorang penari gelek yang berasal dari Maghribi, Karima El Mahroug, semasa gadis itu berumur 17 tahun.
Pemimpin Parti Kebebasan Rakyat yang berusia 74 tahun itu kini diselubungi skandal yang berkemungkinan menyebabkannya hilang kuasa.
Berlusconi yang sudah tiga kali menjadi Perdana Menteri, telah lama diketahui sebagai pemimpin yang gemar dikelilingi perempuan cantik sejak terbabit dalam politik.
Beliau juga didakwa menyimpan sekurang-kurangnya 14 wanita muda dan jelita di beberapa pangsapuri berpagar di luar Milan.
Menurut akhbar The Independent, wanita-wanita itu bukan sahaja tinggal di kediaman tersebut tanpa perlu membayar sewa, malah Berlusconi turut memberi habuan wang tunai sebagai ganjaran bagi perkhidmatan seks mereka.
Wanita-wanita itu dipercayai ditempatkan di Milano Due, sebuah kompleks kediaman berpagar pertama di Itali, yang dibina oleh Berlusconi ketika beliau menjadi pemaju hartanah pada 1970-an.
PERDANA Menteri Itali, Silvio Berlusconi lambang ketahanan seksual lelaki di sebalik pelbagai ujian politik yang perlu dilaluinya.


Lelaki lebih aktif
Kediaman itu dilengkapi dengan taman indah, tempat letak kereta bawah tanah, pasar raya, bar dan kemudahan lain.
Ia menjadi lambang kemewahan paling menonjol di Milan ketika itu.
Apabila beliau menceburi industri penyiaran, Berlusconi menjadikan tempat itu ibu pejabat bagi operasi stesen televisyennya, Mediaset.
Namun, sejak beberapa tahun lalu ia disyaki dijadikan ibu pejabat dan markas bagi kegiatan seks itu.
Bagaimanapun, Berlusconi mendakwa siasatan berhubung dakwaan beliau menjalinkan hubungan intim dengan pelacur bawah umur itu hanya bermotifkan politik.
“Tidak berlaku sebarang rasuah, tidak ada pelacuran, malah tiada penglibatan wanita bawah umur,” katanya dalam satu siaran televisyen di Itali.
Perdebatan termasuk sejauh mana kesahihannya berhubung isu skandal Berlusconi bersama wanita lain terus menjadi perbualan hangat di Eropah termasuk keinginan seksnya yang luar biasa pada usia 74 tahun.
Bagaimanapun, ketahanan libido atau keinginan seksual lelaki adalah sesuatu yang normal. British Medical Journal pada Januari lalu mendedahkan jangka hayat seksual lelaki lebih lama berbanding wanita.
Kajian itu dijalankan oleh sekumpulan penyelidik yang diketuai Dr. Stacy Tessler Lindau dari Pusat Perubatan Universiti Chicago, Amerika Syarikat.
Menurut Stacy, pada usia 55 tahun, seorang lelaki masih mempunyai tahun-tahun kehidupan seksual yang aktif sehingga 15 tahun akan datang, sedangkan wanita pada usia yang sama mempunyai baki 11 tahun sahaja.

RAMAJIT RAGHAV (tengah) dari perkampungan Kharkhoda di Haryana, utara India membuktikan keinginan seksual lelaki masih utuh pada usianya 94 tahun.


Lebih menarik, seandainya seorang lelaki menjaga keadaan fizikalnya, mereka masih boleh aktif secara seksual hingga 7 tahun lagi atau sehingga berumur 77 tahun, sementara golongan wanita hanya mampu menambah tidak lebih daripada 5 tahun.
“Kami sengaja melihat angka 55 tahun kerana pada usia ini lelaki secara konsisten masih tertarik pada seks berbanding wanita.
“Ini tidak mengejutkan kerana rata-rata wanita memasuki fasa menopaus pada usia 51 tahun.
“Perubahan hormon ketika menopaus akan membuat hubungan seks tidak lagi indah,” kata Stacy.
Tiada batasan
Tambah beliau, walaupun lelaki juga mungkin mengalami masalah seksual pada usia 50 hingga 55 tahun, namun ubat-ubatan disfungsi ereksi seperti Viagra mampu membuatkan kehidupan seks lelaki terus bergelora.
Kajian di Australia pula menunjukkan rutin kaum lelaki tidak banyak terjejas selepas mereka berusia 75 tahun ke atas termasuklah dalam hal berkaitan hubungan seks.
Jurnal Annals of Internal Medicine keluaran bulan lalu menyiarkan hasil kajian para penyelidik Australia yang mendapati hampir sepertiga lelaki yang lanjut usia masih aktif secara seksual sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh setahun lalu.
Ini termasuk seorang daripada setiap 10 lelaki yang berusia 90 hingga 95 tahun.
Menurut pakar kesihatan seksual dan reproduktif, Hospital Damai Servis, Dr. Mohd. Ismail Thamby, usia emas sebenarnya tidak menghalang pasangan daripada mendapat kepuasan dalam hubungan intim.
Menurutnya, hubungan seksual sama ada lelaki dan wanita tidak ada batasan dan ia boleh dikecapi sehingga akhir hayat.
Faktor paling penting dalam perkara ini, jelasnya, adalah penjagaan aspek kesihatan.
KARIMA EL MAHROUG didakwa terbabit dalam skandal seks dengan Berlusconi.


“Usia bukanlah penghalang untuk hubungan seksual yang sihat. Tidak bermakna segala-galanya sudah berakhir apabila anda mencapai usia tua.
“Seks sangat berkait rapat dengan tahap kesihatan. Jika tahap kesihatan kita sempurna, ia tidak mempunyai sebarang masalah.
“Sebab itu orang yang menghidap penyakit, kehidupan seksualnya turut terjejas,” ujarnya.
Tambahnya lagi, peningkatan usia sememangnya memberi tanda kepada pertukaran kehidupan dan tabiat seksual, namun ia bukanlah penamat kepada aktiviti tersebut.
Malah, menurut Ismail, ia juga memberi peluang yang lebih luas untuk pasangan meneroka dan mencari penyelesaian kepada masalah berkaitan.
Kajian yang dilakukan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) pada tahun 1999 juga mendapati 78 peratus pasangan berusia lebih 60 tahun mengakui sangat mementingkan hubungan seks dan masih aktif melakukannya.
“Seks adalah perkara penting dalam kehidupan lelaki mahupun wanita.
“Oleh itu, tidak ada halangan untuk menikmatinya selagi ada keinginan dan sihat fizikal,” kata Ismail.
Menurut Ismail, fasa menopaus yang dihadapi wanita juga bukan halangan untuk tidak lagi menikmati hubungan seks.
Lebih-lebih lagi dengan adanya rawatan terapi penggantian hormon dan pelbagai teknologi baru yang mampu meningkatkan keinginan tersebut.
Bagaimanapun, beliau tidak menafikan perubahan seksual akan berlaku disebabkan usia yang semakin meningkat, antaranya lambat terangsang, sensitiviti bahagian badan berkurangan dan kesakitan.
Lelaki berusia emas bukan sahaja masih aktif dari segi seksual bahkan tahap kesuburan mereka juga masih tinggi.
NANU RAM JOGI bercita-cita 'menghasilkan' anak sehingga usia 100 tahun.


Tertua
Salah seorang manusia tertua di dunia, Thomas Parr, seorang rakyat Britain, pernah direkodkan sebagai bapa paling tua yang mempunyai bayi.
Thomas dilahirkan semasa pemerintahan King Edward IV pada tahun 1483 dan meninggal dunia 152 tahun kemudian. Thomas tinggal di Winnington dan hidup membujang sehingga usia 80 tahun.
Pada perkahwinan pertamanya, beliau dikurniakan dua orang anak tetapi kedua-dua bayinya meninggal dunia. Thomas berkahwin lagi pada usia 122 tahun dengan Catharine Milton dan dikurniakan beberapa orang anak.
Selepas kematiannya, Catharine memberitahu beliau masih melakukan hubungan seks sehingga Thomas mencapai usia 140 tahun.
Pada tahun 2007 pula, seorang petani di India, Nanu Ram Jogi, 90, yang baru berkahwin dengan isteri keempatnya dilaporkan berkata beliau tidak akan berhenti untuk menghasilkan anak sehingga umur 100 tahun.
Sebelumnya, Jogi sudah dikurniakan 12 anak lelaki dan sembilan perempuan.
“Wanita menyukai saya dan saya mahu lebih ramai anak,” katanya seperti dipetik Mail Online.
Jogi, yang mengaitkan daya tahan seksualnya dengan aktiviti berjalan dan memakan daging setiap hari berkata: “Saya makan semua jenis daging - arnab, kambing, ayam dan haiwan liar.”


Godaan, lewat kahwin punca maksiat
Kongsi Rasa bersama Kak Ani
bminggu@bharian.com.my
2010/08/29




Kes buang bayi bukan hanya babitkan budak kampung malah meluas di kalangan pelajar IPT

KETIKA media elektronik dan cetak ghairah menyiarkan isu buang bayi, Kak Ani juga seperti orang lain, cuba mencari punca permasalahan itu berlaku.
Mengapa remaja mudah terjebak hubungan terlarang sehingga sanggup menggadai maruah diri? Inilah yang Kongsi Rasa mahu kupas kali ini. Apabila persoalan ini dibahas, perkara pokok mesti berkisar kepada permasalahan moral. Remaja kini tak kuat pegangan agama, mudah digoda dan semuanya bertitik tolak kepada pergaulan bebas.


Kumpulan sasar yang terbabit dalam gejala ini bukan setakat budak kampung malah berjangkit ke pusat pengajian tinggi yang sepatutnya lebih panjang akalnya.

Sedih, simpati dan geram! Begitulah perasaannya sebaik membaca berita seorang pelajar sebuah institusi pengajian tinggi menerima hukuman denda dan penjara kerana kesalahan membuang bayinya dalam tong sampah dan ditemui dalam keadaan terbakar.

Orang kata bertepuk sebelah tangan tak akan berbunyi. Kalau tiada lelaki terbabit, dari mana benih itu datang dan ‘tertanam’ dalam rahim wanita?
Si lelaki mudah angkat kaki kerana tiada kesan tercalar pada diri mereka. 
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil, pernah melahirkan rasa kesal dengan perbuatan keji dan mengecam lelaki ‘ghaib’ yang lepas bebas selepas merosakkan maruah wanita.

Inilah yang perlu wanita beringat sebelum merelakan diri dipergunakan golongan bertopengkan nafsu binatang. Jangan fikir keseronokan sedetik saja, tetapi fikirkan bala yang bakal ditanggung hasil perbuatan terkutuk itu.

Mengapa hubungan terlarang berlaku? Bagi menjawab persoalan ini, beberapa remaja memberi pendapat punca berlaku perzinaan yang membawa kepada pembuangan bayi.

Remaja pertama, H menjadikan alasan faktor menunggu terlalu lama untuk mendirikan rumah tangga menyebabkan remaja terdorong melakukan maksiat.

Menurutnya, ada jurang pendapat mengenai masa sesuai berkahwin antara golongan muda dan tua. Katanya, adalah menjadi harapan ibu bapa supaya anak mereka menghabiskan pengajian dulu baru boleh memikirkan pasal kahwin.

“Kalau dihitung masa pengajian peringkat ijazah di universiti, lelaki dan wanita hanya layak kahwin pada usia 23 tahun. Itu belum lagi dikira mereka yang kecundang dalam peperiksaan, masa mencari kerja atau ambil pengajian peringkat sarjana atau PhD.

“Kalau faktor itu diambil kira, usia untuk berkahwin akan meningkat lagi,” katanya.

H berkata, bagi golongan tua, mereka ada alasan tersendiri tidak menggalak anak masih belajar berkahwin awal. Kos perkahwinan yang tinggi, tiada pendapatan tetap juga dijadikan alasan kukuh menghalang anak kahwin cepat.

Biasanya keluarga tak akan membenarkan anak kahwin selagi tidak mempunyai pendapatan tetap untuk sara anak isteri. Bila keadaan ini terjadi, pasangan yang kurang pengetahuan agama, memilih jalan keluar dengan membuat hubungan tanpa ikatan perkahwinan sah.

Berikutan pengaruh dari luar, ada anak muda bersekedudukan dan menganggap ikatan perkahwinan tidak lagi penting.

Remaja kedua Z berpendapat, naluri manusia untuk hidup berpasangan memang sesuatu yang normal. “Apabila ada usaha melewatkan perkahwinan sedangkan nafsu gagal dibendung, ia secara tidak langsung akan membuka ruang perzinaan terutama dalam keadaan muda-mudi bebas bergaul sekarang.

“Pergaulan bebas dan perkembangan maklumat tanpa sempadan, membuka jalan kepada golongan muda terjerumus ke lembah maksiat kerana terpengaruh dengan budaya yang dibawa dari luar. 

“Pengaruh tak baik mudah menular jika remaja itu tiada benteng pertahanan iaitu didikan agama,” katanya.

Selain itu ada pasangan terpaksa ketepi perkahwinan kerana dikekang kontrak kursus yang menggariskan syarat tidak membenarkan pelatih berkahwin sepanjang menjalani kursus. Z juga kesal dengan sikap golongan tua yang mengabaikan tanggungjawab menentukan jodoh anak. 

Berdasarkan faktor itu ramai gadis terpaksa melalui kehidupan sendirian dan ada yang tidak kahwin sampai tua.

Bagi mereka yang bersikap terbuka, menggunakan keistimewaan yang ada pada diri untuk memikat lelaki tidak kira bujang ataupun suami orang. Akibat dorongan nafsu, mereka ini mudah terperangkap dalam hubungan terlarang.

Kak Ani cukup bimbang gejala buruk yang mungkin berlaku disebabkan wujudnya syarat dan halangan membina masjid.

Fenomena seks bebas berlaku di mana-mana di seluruh dunia. Beberapa kajian dilakukan di negara ini menunjukkan 27 peratus daripada remaja mengadakan hubungan seks luar nikah. Mengapa keadaan ini terjadi itulah yang hendak kita kongsi dengan pembaca.

Apakah remaja kini sudah tiada pegangan agama sehingga sanggup melakukan perkara yang jelas dosanya? Ke mana perginya sifat pemalu yang seharus ada kepada wanita?

Teringat Kak Ani kata-kata pengacara Imam Muda, Astro Oasis, Dzulkarnain Hamzah, ketika berceramah sempena Israk dan Mikraj di Masjid Amrul Ibnu Al-Ass, Bandar Baru Sentul, baru-baru ini:

“Ketika penumpang bersesak dalam bas mini suatu masa dulu, lelaki yang tak sengaja tersentuh akan ditempelak si gadis kerana mereka menghargai maruah diri. Keadaan ini berbeza dengan gadis sekarang yang secara terbuka menggoda lelaki dan menganggap sentuhan nafsu perkara biasa,” katanya.

Walaupun sudah melewati zaman remaja, Kak Ani ada anak gadis yang perlu diawasi dan diberi perhatian. Tidak kiralah anak lelaki atau perempuan, kita sebagai orang tua perlu mengambil berat kepada perkembangan mereka. 

Rasanya tak salah kalau kita hidupkan balik budaya mencari jodoh untuk anak, bukan?

INFO

Mereka yang mahu berkongsi pendapat kisah minggu ini atau ada masalah lain yang mahu dikongsi, bolehlah menghantar e-mel ke Kolum Kongsi Rasa di bminggu@bharian.com.my atau melalui pos di alamat Berita Minggu, Berita Harian Sdn Bhd, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Bangsar, Kuala Lumpur.