Monday, May 31, 2010

RENCANA UTAMA


Sekolah tahfiz 'sejukkan' selekoh maut

http://www.kosmo.com.my

Laluan berliku ke Sungai Congkak dan Sungai Gabai di Hulu Langat, Selangor terselit insiden aneh.


LALUAN di Kampung Sungai Perdek dikatakan pernah mencatat kejadian pelik.


"BIAR dengar, jangan jumpa," ungkap Norehan Kudrat, 45, memulakan bicara mengenai entiti paranormal yang acapkali ditemui melintas di beberapa kawasan sepanjang Jalan Hulu Langat, khususnya dari Batu 14 hingga Kampung Pansoon dekat Empangan Sungai Langat, Selangor.
Tidak sukar untuk Norehan memulakan cerita kerana dia sendiri pernah mengalami 'lintasan makhluk halus' seperti yang kerap diceritakan oleh penduduk setempat.
Jalan yang bengkang-bengkok dan merentasi tanah perkuburan, bukit, anak sungai dan hutan itu merupakan laluan utama penduduk dan didakwa 'meriah' dengan peristiwa yang sukar dijelaskan menerusi sains moden.



"Fenomena yang selalu berlaku ialah hujan panas terutama di beberapa kawasan selekoh.
"Peliknya, hujan itu cuma turun di permulaan selekoh namun jalan di hujung selekoh kering dan tidak hujan, begitu juga sebaliknya.
"Biasanya, kalau ada orang yang melalui selekoh itu semasa hujan panas tersebut, pasti mereka terlihat atau mengalami sesuatu," cerita Norehan.


Ujarnya lagi, kebanyakan penduduk tempatan pernah mengalami kejadian yang mampu menaikkan bulu roma itu sekurang-kurangnya sekali dan lokasinya ialah di selekoh tersebut.


"Kejadian yang paling popular ialah ada penduduk yang menemui beberapa ekor kuda hitam setinggi manusia berjalan di kawasan selekoh. Apabila hendak ditengok semula melalui cermin sisi kereta, kuda tersebut hilang begitu saja.


"Padahal kebanyakan kejadian terjumpa kuda itu berlaku pada waktu siang," kata Norehan yang merupakan anak jati Kampung Lubuk Kelubi, Batu 19 itu.


Bukan sekadar orang biasa, imam masjid turut disakat oleh makhluk halus itu.


"Pernah dulu, salah seorang imam di sini terjumpa pocong selepas menunaikan solat Subuh. Memang kecohlah sekejap tapi benda itu tidak mengganggu. Ia sekadar menampakkan dirinya," jelas Norehan.
Dalam pada itu, bekas Ketua Kampung Lubuk Kelubi, Kudrat Mohd. Rashid, 80, menyifatkan segala kejadian aneh di kawasan tersebut terutama di selekoh berbukit itu sebagai perkara biasa.
Malah, pengalaman seorang anaknya yang tergilis ekor ular sawa ketika memandu bersamanya tidak dapat dilupakan sehingga kini.
"Daripada cermin pandang belakang kereta, kami nampak ular sawa sebesar batang kelapa itu berdiri tegak sebaik saja kami melepasinya.
"Beberapa saat kemudian ular sawa itu terus hilang," ungkap Kudrat yang berketurunan Minang.

Mengikut logik, hanya ular tedung selar yang mampu berdiri begitu namun apabila melihat sendiri ular sawa tersebut, memang sukar untuk dijelaskan.











KEMALANGAN secara tiba-tiba melibatkan motosikal sering berlaku di selekoh berbukit di sepanjang jalan menuju ke Kampung Pansoon.


Tambahnya, kawasan yang agak 'keras' ialah di selekoh Bukit Alai kerana pada zaman dahulu banyak kejadian pelik dan menyeramkan berlaku di situ.
Bukan sahaja entiti paranormal malah insiden berjumpa dengan kelibat beruk besar atau khinzir turut menjadi sebahagian kisah jalan tersebut.

Cumanya, terang Kudrat, kejadian gangguan tersebut semakin berkurangan semenjak sebuah sekolah tahfiz dibina di situ beberapa tahun lepas.

"Mungkin tempat itu dah 'sejuk' dengan bacaan al-Quran oleh pelajar tahfiz itu. Kisah kemalangan pelik juga sudah jarang berlaku," katanya.

Bagi Kudrat, semenjak menjadi sebahagian keluarga peneroka terawal kawasan tersebut iaitu sekitar 1930-an, pengalaman berjumpa, terlihat atau merasai gangguan ketika melalui selekoh-selekoh di situ diumpamakan sebagai rezeki.

"Bukan untuk menakutkan tetapi lebih kepada peringatan agar pengguna jalan raya lebih berhati-hati kerana selekoh di situ agak bahaya," katanya yang menjadi penghulu di kampung tersebut dari tahun 1968 hingga 1980.

Monday, May 24, 2010

RENCANA UTAMA


Gempita tsunami udara

Letusan gunung berapi yang dilitupi ais di Iceland telah menyebabkan negara-negara Eropah diselubungi debu hitam minggu ini.




“IA sangat aneh, hanya satu kejadian gunung berapi seluruh Eropah terjejas,” kata Claire Maertens, 49, seorang pelancong Belgium yang tersadai di Lapangan Terbang Antarabangsa Bangkok, Thailand kerana penerbangan ke kampung halamannya di barat laut Eropah dibatalkan ekoran fenomena letusan gunung berapi di bawah glasier di Iceland.
Hakikatnya memang begitu. Kepulan debu hitam daripada letusan Gunung Berapi Eyjafjallakokull, Iceland minggu lalu itu telah meliputi seluruh langit Eropah.
Ia menyebabkan 100,000 penerbangan yang merentasi ruang angkasa benua itu dibatalkan dan syarikat penerbangan kerugian sebanyak AS$1.7 bilion (RM5.44 bilion) iaitu yang terburuk dalam sejarah.
Seramai 1.2 juta penumpang terkandas setiap hari telah mencorakkan pelbagai ragam dan huru-hara. Tidak kurang yang naik angin apabila bercerita terlepas urusan perniagaan, temu janji dan majlis perkahwinan.
Anak Malaysia yang menetap di Dublin, Ireland, Hazman Abdul Hamid, 37, merasa tempiasnya akibat letusan itu.



KILAT terbentuk dalam asap letusan akibat geseran antara partikel di dalamnya.


Tertangguh

Sebagai Pengurus Sumber di sebuah syarikat rekaan dalaman, Brian S. Nolan resah kerana barang yang ditempah masih belum tiba biarpun pesanan dibuat sebelum beliau bercuti Spring Week lagi.
“Saya masih menunggu ketibaan barang-barang yang telah dipesan dari United Kingdom, Eropah dan beberapa bahagian dunia yang lain.

KIRA-KIRA 700 penduduk di sekitar Eyjafjallakokull diarah meninggalkan kediaman masing-masing.


“Sepatutnya semua barang itu tiba sebaik saya pulang daripada bercuti tetapi nampaknya kerja terpaksa ditangguhkan dan saya perlu terus menunggu sehingga laluan udara dibuka dan kesemua barang yang dipesan tiba,” kata Hazman.
Ketika dunia sedang panik berdepan dengan kesan letusan gunung berapi itu, chef tersohor negara dan diiktiraf dunia, Chef Wan atau Datuk Redzuawan Ismail, 52, sedang terkandas di London.
“Saya sedang bingung sekarang. Saya tidak tahu sampai bila saya akan terkandas di sini.


“Dua, tiga malam sejak kebelakangan ini memang saya tidak nyenyak tidur kerana saya sepatutnya sudah terbang pulang ke Malaysia pada 19 April lalu untuk memenuhi beberapa undangan,” ujarnya ketika dihubungi Rabu lalu.

TERKANDAS di lapangan terbang ialah antara kesan yang jelas kelihatan susulan dari musibah letusan Eyjafjallakokull.


Sepatutnya, jika merujuk jadual yang telah diatur, Chef Wan sedang berucap dalam sebuah seminar di Petronas Melaka pada hari itu.
Pada 25 April pula, beliau bertanggungjawab membuat demonstrasi pada Pesta Makanan Selangor yang dirasmikan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.



Terbang langsung ke London dari Pulau Mauritius lima hari sebelum itu, Chef Wan berada London bagi membuat rakaman televisyen sebagai tetamu siri The Market Kitchen untuk saluran UK Food Network.
“Pada masa yang sama saya memenuhi undangan untuk membuat persembahan masakan di World Gourmand Cookbook Celebrity Chef Performance Theater sempena Pesta Buku London,” kongsinya.
Pemandangan kelam-kabut di kaunter tiket kereta api dan feri di mana kesemua tiket untuk dua minggu habis ditempah juga tidak membantu mententeramkan perasaannya. Sedangkan cuaca di London pada ketika itu, kata Chef Wan, masih cerah.
“Orang ramai sudah mula bimbang kalau-kalau letusan gunung berapi itu bertambah serius. Kalau ia terjadi, bencana alam besar menanti.
“Terfikir juga, kalau ditakdirkan saya meninggal dunia kerana bencana itu, biarlah di tanah air sendiri, bukan di negara orang,” luahnya yang mendapat berita tentang letusan itu melalui jurukamera ketika membuat rakaman. Melihat paparan klip rakaman letusan itu di televisyen juga sudah menakutkannya.
“Suasana di sini menjadi kelam-kabut. Saya menjadi takut ketika melihat laporan berita bahawa orang ramai sehinggakan bertumbuk di lapangan terbang kerana hilang sabar berebut hendak menuju ke destinasi masing-masing.
“Dalam fikiran saya tanda-tanda kecil kiamat sudah bermula kerana mengenangkan ceramah ulama yang sempat saya dengar, manusia digambarkan menunjukkan perangai buruk mereka dalam keadaan seperti ini ketika menghampiri kiamat,” luah Chef Wan.
Rancang Chef Wan, beliau mahu cuba menaiki feri ke Perancis pada keesokan harinya.


Jalan pulang


“Mana tahu ada feri tambahan ke Perancis. Sampai di Perancis saya akan cuba dapatkan feri ke Sepanyol dan selepas itu ke Casablanca, Maghribi. Dari sana, saya akan naik kapal terbang ke Dubai dan balik ke Malaysia,” cerita bapa kepada aktres Serena Redzuawan itu.
Berita baiknya, Chef Wan dilaporkan berjaya pulang pada Jumaat lalu melalui penerbangan langsung dari London ke Malaysia.
Berbalik kepada kejadian gunung berapi di Iceland, panggilan telefon daripada seorang pegawai perlindungan sivil pada pukul 2 pagi 15 April 2010 menjadi amaran pertama buat penduduk ladang Thorvaldseyri bahawa gunung berapi yang dilitupi ais, Eyjafjallajokull, yang berada berdekatan kediaman mereka akan meletus dalam 20 minit.

Jika mereka terus tinggal di ladang tenusu itu mereka mungkin akan dihanyutkan cairan salji akibat pembebasan tenaga yang sudah bermula di dalam gunung berapi yang terletak enam kilometer dari situ.
Itulah letusan besar-besaran kali pertama gunung berapi itu sejak tahun 1821. Selama ini ia diam sahaja dan tidak dikenali dunia.

Namun, pada hari itu, nama gunung berapi yang sukar untuk disebut itu mengisi muka depan akhbar tempatan dan antarabangsa setelah menjadi penyebab ruang udara barat Eropah dan Scandinavia diselubungi debu.





Kira-kira 700 penduduk diarah meninggalkan kawasan itu. Sedangkan, lembu tenusu dan kesemua harta mereka masih di ladang itu.
Pakar geologi, Profesor Madya Datuk Mohamad Ali Hassan berkata, berdasarkan abu hitam yang meletus keluar daripada gunung berapi itu, maka boleh disifatkan satu letupan yang amat dalam di dalam perut bumi telah berlaku.


Terburuk


“Ia memang suatu bencana yang dahsyat. Bahkan, ada pihak yang menyifatkan ia sebagai bencana terburuk sejak Perang Dunia Kedua. Ia seperti mencetuskan tsunami di udara.
“Debu kehitaman yang keluar menandakan telah berlaku letupan atau perlanggaran plat yang begitu dalam iaitu di teras bumi. Abu hitam mengandungi kandungan teras bumi seperti nikel dan besi.
“Berbanding gunung berapi yang biasa di Asia Tenggara mengeluarkan abu yang berwarna putih kerana letupan berlaku di kawasan kerak bumi,” katanya.

HASIL ternakan dan tanaman terpaksa ditinggalkan semasa kecemasan akibat bencana itu.


Jelas Mohamad Ali, keadaan gunung di Iceland yang dilitupi glasier (ais kekal) memungkinkan letusan yang datang jauh lebih dalam kerana apabila tekanan yang melibatkan permukaan berais akan menyebabkan kesan yang lebih kuat.
Letusan yang lebih kuat dan dalam menyebabkan abu naik menjulang tinggi ke langit berbanding letusan yang kurang kuat yang mengeluarkan lahar yang lebih banyak.
Mohamad Ali berkata, saintis kini percaya berdasarkan kajian dan sejarah bahawa satu lagi letusan gunung berapi akan berlaku pada kembar Eyjafjallakokull iaitu Katla dan ia 10 kali ganda lebih besar.

RISIKO pesawat yang terbang dalam kepulan asap letusan gunung berapi ialah kerosakan enjin yang membolehkannya terhempas.


Bukan itu sahaja, tidak mustahil bencana gunung berapi akan berlaku di benua-benua yang lain kerana perlanggaran plat telah berlaku. Debu hitam yang berterbangan ditiup angin juga boleh menuju ke atmosfera benua lain.

“Waktu berlaku letusan gunung berapi sukar untuk diramal. Kemungkinan juga terdapat implikasi-implikasi lain daripada letusan seperti kesihatan, perubahan iklim dan pemakanan dunia. Kalau masalah jerebu di negara kita, ia mungkin boleh terpadam dengan hujan.

“Tapi di kawasan benua yang kurang menerima hujan, ia mungkin lebih sukar untuk hilang. Saintis perlu melakukan sesuatu misalnya pembenihan hujan,” katanya.

Monday, May 17, 2010

RENCANA UTAMA


Masih kekal dengan adat

Pemodenan tidak menghalang masyarakat Hindu di negara ini mengekalkan adat tradisi perkahwinan mereka tetapi dipermudahkan sesuai dengan peredaran zaman.





"SEMOGA perkahwinan ini mendapat kebahagiaan hingga ke akhir hayat. Setiap pasangan dapat menghormati mertua masing-masing. Kedatangan menantu dalam sebuah keluarga mampu mendapat banyak tuah dan mempunyai bilangan cahaya mata yang ramai."
Begitulah antara kata-kata yang diungkapkan oleh seorang sami dalam bahasa Sanskrit sebaik kedua-dua mempelai selamat disatukan sebagai suami isteri.
Selain adat dan ritual dalam perkahwinan masyarakat India, majlis menyatukan dua hati itu tidak berakhir di situ.
Selepas bacaan mantera sami itu, kedua-dua mempelai akan bertukar mengikat thali, diikuti kalungan bunga sebelum mengelilingi api sebanyak tujuh kali yang melambangkan tujuh kelahiran.
Kemudian mereka akan saling menyarungkan cincin di jari kaki sebelum mendapat restu daripada ibu bapa dan saudara-mara kedua-dua belah pihak.
Di sebalik pemodenan hari ini, masyarakat Hindu masih mengekalkan adat budaya dan tradisi perkahwinan mereka.
Walaupun ada yang melihat adat adalah sesuatu yang agak remeh, namun itulah keistimewaan dan keindahan perkahwinan mempelai yang beragama Hindu.
Ketelitian adat perkahwinan itu bermula daripada proses lamaran, pertunangan, memilih tarikh perkahwinan mengikut bintang, majlis mandi kunyit dan mendapat restu keluarga lima atau tiga hari sebelum perkahwinan sehinggalah upacara perkahwinan yang sarat dengan istiadat.




THAALI merupakan lambang suci perkahwinan yang dikalung pada leher pengantin perempuan.



"Upacara perkahwinan masyarakat India di negara ini secara keseluruhannya masih dikekalkan dengan adat-adat tradisi bagaimanapun dalam hal-hal tertentu ia dipermudahkan mengikut peredaran zaman.
"Perkara asas dalam perkahwinan masih ada tetapi di India ia lebih meluas kerana kelengkapan perkahwinan di sini tidak sehebat di India," kata Pensyarah Jabatan Pengajian India Universiti Malaya (UM), Prof. Dr. M. Rajantheran
Kata beliau, tidak kira sama ada keluarga itu daripada golongan Cettiar (ceti) mahupun Tamil, upacara yang dijalankan tetap sama. Mungkin perbezaan hanya dari segi majlis yang diadakan samaada secara besar-besaran atau sederhana.
Katanya, kelainan yang dapat disaksikan apabila kaum India mula mengikut budaya memberi hadiah yang lazimnya menjadi sebahagian daripada amalan perkahwinan kaum Melayu.
Kepada pengacara sebuah program bual bicara Vaanavil, di Astro, Sushmeetha Morugan juga mempunyai memori perkahwinan yang cukup indah. Perkahwinannya dengan jejaka dari India, Arunkumar Sethuraman, 31, bukan sahaja mengikut adat sepenuhnya bahkan majlis tersebut dilangsungkan di India.




HANTARAN yang terdiri daripada kalungan bunga, sari, buah-buahan dan barang kemas untuk pengantin perempuan.



"Majlis perkahwinan di India lebih teliti dan banyak adat ritualnya. Majlis perkahwinan kebanyakannya masih diadakan di kuil dengan jamuan dihidangkan di atas daun pisang.
"Sebaliknya majlis perkahwinan di Malaysia sedikit moden seperti diadakan di hotel kerana segala-galanya tersedia," katanya sambil memberitahu belum ada ahli keluarganya yang melangsungkan majlis perkahwinan di India.
Mengenali suaminya menerusi laman interaktif sosial Friendster sejak tiga tahun lalu, majlis yang diadakan pada Disember 2008 itu beritahu Sushmeetha, seramai 30 orang ahli keluarganya terbang ke Madurai, India untuk majlis itu sementara ibu bapa Arun sememangnya menetap di India.

Persiapan majlis

Menceritakan keindahan tradisi perkahwinan masyarakat India, Sushmeetha, 29, berkata, setelah kedua-dua keluarga bersetuju dengan pasangan masing-masing, mereka mula sibuk dengan sesi pemilihan tarikh mengikut kepercayaan kaum India.
Upacara menilik bintang begitu diutamakan memandangkan gerbang perkahwinan tidak boleh dipandang remeh.











"Kaum wanita dianggap suci dan perlu diberi penghormatan sebaik mungkin. Antara pantang larang yang perlu dipatuhi termasuklah pengantin lelaki dan wanita tidak boleh bersemuka antara tiga atau lima hari sebelum majlis perkahwinan," ceritanya.
Menceritakan detik-detik persiapan, Sushmeetha terpaksa berhubung dengan keluarga pihak lelaki menerusi Internet tidak pernah berhadapan dengan masalah seperti perselisihan pendapat.
Meskipun ibu mertuanya berasal dari India dan ingin mengamalkan perkahwinan mengikut adat budaya lama, beliau dan keluarganya tidak membantah.


SANAK saudara pengantin turut hadir memeriahkan majlis perkahwinan.



"Keluarga saya memang mementingkan adat resam, jadi segala persiapan berjalan lancar daripada kedua-dua belah pihak," jelasnya.
Selepas meneliti tarikh sesuai untuk memetrai perkahwinan, antara persiapan utama yang perlu dititikberatkan ialah kad jemputan, penyediaan thaali dan mukuurtta kaal.
Kad jemputan dianggap cukup istimewa kerana yang sudah siap dicetak akan disapu dengan serbuk kunyit cair sebagai lambang keharmonian.
Terang Sushmeetha, setiap majlis yang ingin diadakan haruslah dijemput menggunakan kad berlainan. Jadi tidak mustahil jika dia dan suaminya mempunyai empat kad jemputan bagi empat majlis berlainan.
"Saudara-mara ternanti-nanti kad jemputan perkahwinan. Kalau tidak ada kad mungkin mereka tidak akan datang.
"Di dalam kad jemputan itu akan tertera dua bahasa iaitu bahasa Tamil dan bahasa Inggeris," jelasnya yang melangsungkan perkahwinan di Madurai Sri Meenakshi Sundareswarar Amman Temple, Madurai, India.
Anak kedua daripada lima adik-beradik itu amat bertuah apabila keluarga lelaki mengadakan majlis khas dengan menjemput tukang emas untuk membuat thaali. Thaali merupakan lambang suci perkahwinan yang dikalungkan pada leher pengantin perempuan.
Biasanya thaali yang diperbuat daripada emas akan disambungkan hujungnya dengan segumpal ikatan benang putih yang disapu kunyit.
"Thaali tidak semestinya diperbuat daripada emas ia bergantung kepada kemampuan keluarga lelaki," terang Sushmeetha.
Disebabkan mengagungkan kehadiran orang baru, kediaman pengantin lelaki akan menjalankan adat mukuurtta kaal. Adat tersebut memerlukan sebatang pokok yang masih muda dan lurus akan ditebang dan ditanam di hadapan rumah.
Tujuannya ialah untuk memberitahu orang kampung bahawa keluarga tersebut akan mengadakan majlis perkahwinan dan menerima menantu. Lazimnya bahan-bahan seperti sirih pinang, kum kum dan kunyit turut digunakan.
Ikatan suci
"Ahli keluarga pengantin akan memohon kepada Tuhan supaya perkahwinan dapat dilangsungkan tanpa sebarang gangguan. Batang kayu tersebut akan dibersihkan terlebih dahulu dan kulitnya dibuang.
"Selepas itu batang tersebut akan dicat dengan warna merah dan putih secara berselang-seli serta dipacakkan sedalam setengah meter, manakala bahan-bahan tadi akan ditanam ke dalam lubang tersebut sebagai lambang kekayaan," ungkapnya lagi.
Bagaimanakah acara perkahwinan bermula? Upacara perkahwinan dimulakan oleh sami dengan berdoa supaya pengantin hidup bahagia hingga hari tua. Sami akan menabur sembilan jenis bijirin sebaik acara menyarung cincin selesai. Pengantin lelaki akan mengalungkan thaali yang dibuat khas dengan mengikatnya kepada pengantin perempuan hingga ke paras dada.
Sesi bertukar dulang diteruskan dengan memilih dua dulang yang mempunyai keistimewaan. Setiap keluarga akan memilih dulang yang berisi kain sari dan barangan kemas.


ARUN (kiri) meletakkan kum kum di dahi Sushmeetha sejurus selepas upacara mengikat thaali.



Kain sari akan dipilih secara teliti dan harga memainkan peranan penting. Mereka sanggup menghabiskan wang yang banyak untuk sehelai sari.
Selepas upacara itu, kedua-dua mempelai memberi penghormatan kepada ibu bapa atau mertua dengan bertukar-tukar dulang berisi buah-buahan dan menyapu debu suci di dahi pengantin antara satu sama lain.
Upacara diteruskan dengan memberi penghormatan. Kedua-dua pengantin perlu menyembah kaki orang paling tua dalam keluarga iaitu ibu bapa, nenek atau datuk.
Masa merupakan antara faktor penting yang perlu diambil kira sebelum upacara perkahwinan dilangsungkan.
"Masa yang ditetapkan perlu dipatuhi kerana waktu yang telah dipilih itu mempunyai pelbagai kebaikan," jelas Arun bahawa pengantin dan tetamu dijamu dengan menu sayur-sayuran.
Antara hidangan yang disediakan ialah acar, dal, bendi, papadom, kesari dan laddu.
"Di India sajian untuk majlis perkahwinan adalah 100 peratus sayur-sayuran. Itu merupakan keunikan majlis di India," katanya.