Monday, May 10, 2010

RENCANA UTAMA

Tidur ubat paling MUJARAB




"SAYA pernah hampir terlibat dalam kemalangan ketika memandu pulang ke kampung kerana mengantuk.
"Saya juga kerap bermimpi seperti lemas dan tiba-tiba terbangun," ujar Zulfikar Ali Bhatto Mohd. Sidik menceritakan masalah mengantuk yang dihadapinya.
Pada awalnya dia menyangka fenomena itu disebabkan dia kurang vitamin dan tidal bersenam. Namun, pemeriksaan doktor mendapati Zulfikar Ali menghidap sleep apnea (nafas terhenti ketika tidur) hingga kualiti tidurnya berada pada paras 30 peratus sahaja.
Dia sering terjaga secara tiba-tiba disebabkan otaknya telah memberikan signal supaya bangun. Jika tidak, keadaan itu boleh menyebabkan maut kerana nafas berhenti untuk tempoh yang lama.
Bagi mengatasi masalah itu, doktor menasihatkan Zulfikar supaya menjalani pembedahan.
Namun, memandangkan Zulfikar mempunyai masalah tonsil, doktor menyarankannya menggunakan mesin tekanan laluan udara positif berterusan (CPAP) berharga antara RM5,000 hingga RM8,000 bagi membolehkannya mendapat tidur yang berkualiti.



Zul'Aida Zulkifli, 27, pula memberitahu dia baru sahaja mengalami gangguan tidur sejak bulan lalu kerana tekanan bekerja.
"Walaupun mengantuk, saya tidak boleh tidur. Pukul 5.30 pagi baru saya dapat melelapkan mata tetapi kemudian terpaksa bangun pada 7 pagi dan bersiap-siap ke tempat kerja.
"Keadaan itu menyebabkan saya sentiasa sakit kepala selama satu jam sebaik bangun daripada tidur. Pernah juga terdetik untuk mengambil pil tidur bagi mengatasi masalah ini tapi khuatir ia akan mendatangkan kesan sampingan pada badan saya kelak" katanya.
Sepanjang berjaga, Zul'Aida menghabiskan masa dengan membaca buku, melayari Internet dan menonton televisyen.
Tidur merupakan satu-satunya waktu privasi untuk merehatkan badan dan minda. Ia juga satu keperluan asas biologi manusia.
Seseorang yang tidak mempunyai waktu tidur yang men cukupi cenderung untuk mengantuk.
Mengantuk bukan sahaja terjadi berikutan waktu tidur tidak mencukupi malah disebabkan gangguan tidur yang dialami oleh seseorang individu.
"Waktu tidur paling optimum ialah enam jam hingga lapan jam sehari bagi mengelakkan rasa mengantuk.
"Jika seseorang itu masih rasa mengantuk, mungkin ada sesuatu yang tidak kena," kata Pakar Perunding Kanan Neurologi, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) Prof. Datuk Dr. Raymond Azman Ali.
Lebih segar
Secara biologinya manusia mempunyai lima peringkat tidur. Peringkat satu hingga peringkat empat dipanggil tidur tanpa gerak mata cepat (NREM) dan peringkat lima dipanggil tidur gerak mata cepat (REM). Ketika REM, mata bergerak-gerak seolah-olah mengikut imej-imej dalam mimpi kita.
Manusia memerlukan tiga hingga empat tahap untuk tidur nyenyak supaya lebih segar apabila bangun daripada tidur.

SLEEP apnea pula berlaku apabila seseorang itu berhenti bernafas ketika tidur.


Tambahnya, ketika peringkat REM, otot-otot badan menjadi kendur. Keadaan ini menyebabkan seseorang itu berdengkur kerana lidah jatuh ke belakang dan anak tekak bergetar.
Selain otot kendur, seseorang itu akan mengalami mimpi dan gelisah kerana ketika peringkat REM, banyak perubahan fisiologi dalam tubuh berlaku.
"Pada peringkat satu, seseorang itu akan berasa mamai dan hampir tidur. Contohnya ketika khutbah solat Jumaat dan solat Tarawih, seseorang itu akan tersengguk-sengguk manakala peringkat dua pula dikategorikan sebagai tidur yang ringan.
"Tidur mula nyenyak apabila mencapai peringkat tidur tiga dan empat. Pada masa ini, elektroencefalogram (EEG) yang digunakan untuk mengesan tahap tidur mendapati gelombang otak perlahan," ujarnya.
Beliau memberitahu, waktu tidur yang sepatutnya tidak semestinya pada waktu malam kerana ia mungkin terjadi pada siang hari, bergantung kepada tubuh badan seseorang.
Katanya, kerja mengikut syif tidak bagus kerana seseorang itu perlu bekerja seminggu pada waktu malam dan minggu berikutnya pada waktu siang.
Keadaan itu menyebabkan otak menjadi tertekan. Badan menjadi penat, lesu, murung dan sebagainya sehingga mengganggu fisiologi badan.
Keperluan tidur untuk orang dewasa adalah di antara enam hingga lapan jam. Jika jumlah tersebut kurang, seseorang itu akan mengantuk dan jika jumlah tidur melebihi 12 jam ia boleh mencetuskan sakit kepala dan otak jadi malas (tidak cerdas).
PH darah lebih berasid pada waktu malam berikutan penambahan karbon dioksida dalam badan.

Kemalangan

Adakah kemalangan yang berlaku pada dinihari di lebuh raya berpunca daripada mengantuk?
"Pemandu mengantuk adalah salah satu faktornya selain keadaan lebuh raya yang lurus agak membosankan sehingga pemandu memandu sambil lewa.

RAWATAN tradisional akupuntur boleh dicuba bagi mengatasi masalah tidur.


"Sebaiknya jika seseorang mahu memandu jauh pada waktu dinihari, sebaiknya latih diri seminggu lebih awal supaya tubuh dapat menyesuaikan keadaan," jelasnya kopi dan mengunyah gula-gula tidak membantu seseorang mengatasi rasa mengantuk.
Penawar terbaik untuk hilang mengantuk ialah tidur selain mendapat rehat yang mencukupi. Akibat tidak cukup tidur seseorang akan cepat letih, cepat marah, mengantuk dan kurang konsisten manakala pengeluaran hormon stres dan steroid semula jadi meningkat.
Seseorang yang mengantuk pada siang hari disebabkan tidak mendapat cukup tidur pada waktu malam atas beberapa faktor iaitu atas pilihan sendiri, kemurungan, serangan epilepsi, mengalami gangguan tidur NREM dan REM, sleep apnea dan fatal famillia insomnia.
Raymond memberitahu serangan epilepsi pada waktu malam yang dipanggil sebagai nokturnal epilepsi kerap tidak dapat dikesan dan ia hanya meninggalkan tanda-tanda seperti lenguh otot, sakit kepala, darah pada bantal akibat tergigit lidah, terkencing dan keliru.
"Bagi gangguan tidur NREM yang biasanya dialami oleh orang muda, mereka cenderung berjalan dan bercakap ketika tidur yang mengganggu lena menyebabkan seseorang itu mengantuk pada siang hari.
"Orang tua yang kerap mengalami gangguan peringkat REM, kaki mereka tidak akan berhenti bergerak seolah menendang-nendang," katanya.

MENGANTUK sering dikaitkan sebagai punca kemalangan.


Sleep apnea pula berlaku apabila seseorang itu berhenti bernafas ketika tidur. Apabila bangun, mereka tersedak dan tercekik untuk bernafas.
Keadaan tersebut kerap berlaku pada lelaki dewasa berusia 40 tahun ke atas, gemuk, berleher pendek, dagu kecil, lidah besar dan tebal manakala anak tekak bengkak dan panjang.
Fatal famillia insomnia pula adalah sejenis penyakit keturunan yang berlaku akibat bahagian hipotalamus di dalam otak rosak kerana dimasuki sejenis protein (prion), menyebabkan seseorang itu tidak tidur waktu malam dan siang.
"Mereka yang mengalami masalah ini hanya rasa mengantuk sekejap-sekejap. Penyakit ini berlanjutan selama beberapa tahun sebelum membawa maut kepada semua penghidap.
Antara ubat-ubatan yang boleh menyebabkan rasa mengantuk pada siang hari ialah ubat selesema, ubat epilepsi dan sesetengah antibiotik.
"Selain itu ada juga yang mengalami penyakit senang tidur waktu siang. Penyakit ini disebabkan beberapa faktor iaitu kegagalan organ dan narkolepsi," katanya.

Kegagalan organ

Jelasnya, contoh kegagalan organ yang sering dialami seseorang pesakit ialah ginjal, hepar, jantung dan paru-paru. Waktu tidur mereka yang mengalaminya terbalik daripada sepatutnya.



Narkolepsi pula disebabkan genetik yang dominan dan amat jarang berlaku. Penghidap narkolepsi akan tertidur secara tiba-tiba di antara satu minit hingga lima minit.
"Peringkat tidur mereka tidak bermula dengan peringkat satu tetapi terus memasuki peringkat lima atau mencapai REM dengan cepat iaitu kurang daripada 10 minit jika dibandingkan tempoh normalnya beberapa jam.
"Sejenis ubat perangsang bentuk kimianya mirip enfatamin akan diberikan pada siang hari.
"Ubat ini amat dikawal pengeluarannya oleh doktor kerana khuatir berlaku penyalahgunaan. Penghidapnya juga dilarang memandu," jelasnya.
Selain itu, Raymond memberitahu penyakit bagi kebanyakan orang yang tidak boleh tidur ialah insomnia yang berpunca daripada tidak menjaga kesihatan tidurnya.

Monday, May 3, 2010

RENCANA UTAMA

KEDAI JERUK ASLI TERAKHIR

http://www.kosmo.com.my


DUA remaja Yahudi ini membeli-belah di jeruk The Pickle Guys.


ADA banyak perkara yang menjadi sebahagian daripada New York, antaranya roti gelang atau bangunan Empire State Building tetapi hidangan tradisional timun jeruk yang semakin pupus meninggalkan kenangan kepada para penggemarnya.
Acar, herba, jeruk timun dan seumpamanya masih boleh didapati di kebanyakan kedai dan sandwic daging lembu salai sama seperti industri bekas tertutup yang dipenuhi bahan kimia dan air garam.
Salah satu lokasi terakhir yang menjual jeruk asli rangup yang dihasilkan dengan tangan ialah jeruk bangsa Yahudi dari New York. Ia terletak di sebuah kedai kecil The Pickle Guys di pinggir timur Manhattan.
"Ini ialah jeruk keluaran Mekah, Arab Saudi," kata Michael Dansky, 52, yang sanggup datang dari Boston dengan bekas penyejuk untuk menyimpannya. "Mereka merupakan pembuat jeruk asli terakhir yang boleh ditemui."
Kedai itu dipenuhi dengan balang jeruk yang masih kekal dalam industri pembuatan jeruk yang sebelum itu dikuasai oleh bangsa Yahudi. Kira-kira seabad yang lalu, terdapat lebih 150 tempat menjual jeruk yang boleh didapati dengan berjalan kaki.
Salah satu yang menjadi sebutan ialah Guss' Pickles, tetapi ia telah ditutup tahun lalu.
Kebanyakan kakitangan di The Pickle Guys pernah bekerja di Guss'. Mereka percaya gabungan kualiti dan kesanggupan untuk mencuba produk baru membolehkan mereka terus bertahan.
"Pelanggan datang ke sini kerana ibu bapa mereka pernah membeli jeruk dan ia merupakan satu tradisi," kata Mike Chu, yang mengendalikan perniagaan itu sejak 13 tahun lalu.

JERUK di The Pickle Guys digemari kerana rasanya yang rangup dan dihasilkan secara tradisi.


"Sebelum ini terdapat kira-kira 30 kedai jeruk di kawasan ini sehinggalah tahun 70-an," kata William Soo, 29, sambil menolak lobak putih mentah ke dalam mesin pengisar. "Kini hanya kami sahaja yang tinggal."
Walaupun mesin pengisar itu terletak di laluan pejalan kaki, Soo tetap mengeluarkan air mata akibat pedih terkena asap, manakala topeng gas yang tergantung di dinding di belakangnya hanya sekadar hiasan.
Pengunjung berbangsa Yahudi yang datang membeli-belah semasa perayaan Passover teruja melihat kedai yang halal untuk mereka, bakul mereka dipenuhi sos, jeruk manis, jeruk pedas, tomato, lobak pedas dan sebagainya.
Mereka turut melahirkan kebimbangan tentang masa depan industri berkenaan.
"Saya tidak tahu sama ada ia mampu bertahan atau tidak. Setiap hari kedai-kedai itu ditutup dan digantikan dengan bank atau kedai," kata jurugambar Andrew Federman, 35. "Ia sangat menyedihkan."
Kehadiran seseorang telah menyelamatkan industri jeruk di New York, beliau adalah Shamus Jones usahawan tatu dari Brooklyn.
Proses mengawet
Jones, 29, bukan berbangsa Yahudi. Jeruknya tidak pun mencapai piawaian halal atau peniaga jalanan seperti di The Pickle Guys. Kedainya langsung tidak mempunyai bahagian hadapan.
Kakitangannya seramai empat orang bekerja sepanjang malam di dapur restoran di Brooklyn. Mereka menjual barangan secara talian, meletakkannya di kedai organik dan di rangkaian Whole Foods.
Produk keluarannya terdiri daripada terung pedas, daun bawang putih, dan asparagus lavender.
Proses pengawetan yang dilakukan terhadap sayur-sayurannya hanya melibatkan air garam atau cuka.
Jones memberikan sayur-sayurannya ramuan mewah seperti lemon, pudina dan paprika salai, air garam untuk terung, cuka epal, gula, biji mustard dan cili.
Bahkan NYC Deli Style Cucumber juga menggunakan semua ramuan tersebut termasuk bawang putih, herba, gula, jintan dan biji lada sebagai perisa tambahan.

ORANG ramai beratur panjang untuk menempah jeruk di The Pickle Guys.


"Kami tidak menghasilkannya mengikut kelaziman, tetapi kami mengubahnya. Proses biasa telah dilakukan sebelum ini tetapi itulah keunikan makanan. Anda boleh buat apa saja," kata Jones.
Brooklyn menjadi tempat asal kepada permulaan makanan jeruk, tempat-tempat seperti Rick' Picks mengembalikan kehidupan di New York.
"Kesemua imej herba membuktikan kehadiran jeruk di sini. Walaupun ia tidak lagi wujud kini tetapi saya percaya ia merupakan sebahagian di atas kejayaan yang dicapai," kata Jones.
"Kami tidak melakukannya dengan pantas seperti di Idaho atau di tempat lain."
Sementara itu, bar-bar di New York mula meningkatkan hidangan Pickleback iaitu sejenis wiski yang diminum bersama air jeruk.
Brooklyn mendakwa ia merupakan tempat kelahiran kombinasi minuman yang memabukkan itu, namun ia kini sudah diiktiraf di peringkat nasional. Akhbar Washington Post pada April lalu menggelar Picklebacks sangat hebat iaitu salah satu kombinasi di antara semua yang hebat."
Nancy Ralph, Pengarah Muzium Makanan New York berkata semua inovasi mengenai jeruk kini berada di muzium itu.
"Itu antara perkara yang menarik mengenainya. Orang ramai kini mula bercakap semula tentangnya dan membawanya kembali," kata Ralph. - AFP

Wednesday, April 28, 2010

RENCANA UTAMA

Resort mewah Pulau Redang




PULAU REDANG di Terengganu merupakan antara pulau yang dikenali kerana keindahan landskap dasar lautnya. Antara tarikan yang sering menjadi sebutan mereka yang pernah berkunjung ke pulau itu ialah kejernihan airnya, batu karang, ekosistem marin yang masih terpelihara dan hutan rimbanya.
Pulau peranginan itu juga sentiasa menjadi sebutan di kalangan penggemar selam skuba dan aktiviti laut seperti snokeling, berkayak dan sebagainya.
Mengambil masa sekitar 45 minit perjalanan dari Jeti Merang, Setiu atau satu jam perjalanan dari jeti Shahbandar Kuala Terengganu, Pulau Redang menawarkan percutian yang cukup berbaloi.
Dengan bayaran sekitar RM300 hingga RM500, pengunjung berpeluang menikmati pakej percutian tiga hari dua malam yang ditawarkan oleh kebanyakan resort di pulau itu.
Baru-baru ini, Kerajaan Negeri Terengganu mencadangkan untuk hanya meluluskan pembangunan resort mewah bertaraf lima bintang di pulau itu.
Cadangan itu bagaimanapun mendapat reaksi pelbagai pihak terutamanya daripada golongan berpendapatan sederhana.
Namun ramai yang tidak bersetuju dengan cadangan tersebut kerana berpandangan ia tidak wajar dan akan memberi kesan kepada banyak pihak.

PULAU REDANG juga menawarkan penginapan untuk pelancong bajet rendah.


Mereka yang terkena tempias itu termasuklah pelancong tempatan, pengusaha resort sederhana, pengusaha bot, pemandu pelancong dan penduduk kampung di pulau itu.
Seorang pengunjung yang juga penyelenggara alat keselamatan dari Petaling Jaya, Vincent Tan, 26, memberitahu, dia juga turut merasa tempiasnya jika benar resort mewah dibangunkan di Pulau Redang.
"Sudah tiga kali saya ke pulau ini dan kali ini saya membawa keluarga," katanya yang hanya membelanjakan sekitar RM500 seorang untuk percutian selama tiga hari dua malam.
Jelasnya, berbanding pulau lain, Pulau Redang merupakan destinasi terbaik percutian kepada mereka yang gemarkan aktiviti sukan air. Jika benar perubahan itu dilakukan, maka dia terpaksa memilih lokasi lain untuk bercuti.
"Jika perubahan itu dilakukan sekarang, maka ia sudah terlambat kerana hampir 80 peratus batu karang di Pulau Redang sudah mati.
"Biarlah tempat ini kekal begini dan buka peluang kepada semua orang untuk datang ke pulau ini kerana penguatkuasaan sepatutnya dilakukan sejak dahulu lagi," kata Tuan Harun Mahmud, 61, yang melihat perkembangan pulau tersebut sejak berkunjung ke situ sekitar tahun 1980-an.
Jelas Tuan Harun, jika kerajaan tetap mahu melaksanakan cadangan tersebut, beliau mencadangkan supaya ia dilakukan di pulau-pulau lain di Terengganu seperti Pulau Bidong dan Pulau Tenggol yang masih belum dibangunkan.
Seorang pesara yang kini membantu isterinya mengusahakan sebuah resort di pulau itu yang hanya mahu dikenali sebagai Harris, 59, memberitahu, tindakan itu seperti mahu mengambil jalan mudah untuk mengatasi masalah di pulau itu.
"Mengehadkan bilangan pengunjung yang datang ke sini bukan caranya sebab ia seolah-olah menafikan hak kebanyakan orang," katanya.
Kepada pengusaha calet, Azmi Ali, pintu rezekinya dan penduduk kampung mungkin akan terjejas dengan pelaksanaan pembangunan itu kerana mereka tidak mampu untuk menyediakan kemudahan bertaraf lima bintang.
"Saya telah mula mengusahakan resort ini kira-kira dua dekad lalu tetapi ini sahaja kemudahan yang mampu saya sediakan," katanya sambil menunjukkan beberapa buah bilik di resort miliknya yang tanpa status sebarang bintang.
Sementara itu pengusaha bot pelancong, Azahari Che Razak, 26, memberitahu, kadar yang dikenakan bagi percutian ke pulau itu buat masa ini masih dianggap terlalu tinggi terutama kepada pelancong tempatan.

AKTIVITI selam skuba antara tarikan utama di Pulau Redang.


Pendapatan terjejas
Andai cadangan itu diteruskan, maka ia akan menambah beban pelancong sekali gus menjadikan percutian ke Pulau Redang sebagai angan-angan sahaja.
"Ia akan menyebabkan orang ramai tidak datang ke pulau itu dan akan menjejaskan pendapatan kami," katanya yang menyediakan perkhidmatan bot pergi balik dari Jeti Merang ke Pulau Redang dan Lang Tengah.
Bagi Azmi Awang, 23, yang berasal dari pulau itu, dia sanggup untuk kembali ke kampung halamannya selepas sekian lama merantau mencari rezeki sebagai pemandu pelancong dengan bot pemberian bapanya.
"Pendapatan saya di sini agak baik sebab ramai pelancong datang tetapi saya tidak tahu bagaimana pula nasib saya dan penduduk kampung lain selepas ini sekiranya pulau ini berubah wajah," katanya.
Bagi Maria Harris, 22, dia juga risau jika pulau itu dieksklusifkan kerana mungkin orang ramai akan memilih untuk melancong ke luar negara memandangkan tiket penerbangan ketika ini cukup murah.
Bagaimanapun, beberapa pihak pula berpandangan cadangan untuk mengeksklusifkan pulau itu perlu dilakukan kerana pulau tersebut sudah tidak seindah seperti sebelum ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung dan juga imam Pulau Redang, Ladin Awang, 71, memberitahu, sudah banyak perubahan yang dilihatnya sepanjang tempoh dia membesar dan mendirikan keluarga di pulau itu.
"Terlalu ramai orang datang ke sini menyebabkan pulau ini jadi kotor dan kehidupan karang juga terjejas.
"Ikan di sekitar pulau ini juga sudah berkurangan," katanya yang merupakan generasi ketiga keluarganya yang menetap di pulau itu.
Langkah untuk menaiktaraf Pulau Redang katanya adalah wajar dan beliau tidak risau dengan rezeki penduduk di pulau itu kerana mereka tetap boleh menumpang rezeki resort mewah di pulau tersebut.

DUA remaja tempatan Pulau Redang meraih pendapatan dengan membawa pelancong untuk aktiviti snorkeling.


"Pada masa sekarang pun ramai penduduk kampung yang bekerja di beberapa buah resort mewah di kawasan ini terutamanya Berjaya Redang Resort," katanya.