Wednesday, January 13, 2010

Anak pintar 'bonus' ibu bapa

http://www.utusan.com.my




Ibu bapa dan guru perlu memberi perhatian yang sewajarnya kepada anak-anak pintar ini dan bukannya hanya membiarkan mereka tanpa sebarang bantuan atau sokongan.





ANAK adalah anugerah Allah SWT yang tidak ada tolok banding nilainya. Tiada harta yang paling berharga di dunia melainkan seorang anak yang diamanahkan sebagai penyambung keturunan.

Tidak mungkin ada yang dapat menyangkal kenyataan bahawa kehadiran anak melengkapkan 'makna' sebuah keluarga.

Ibarat kain putih yang bersih, ibu bapa diberi tanggungjawab untuk mencorak anak yang dianugerahkan itu untuk menjadi seorang manusia yang beriman dan beramal soleh.

Bagaimanapun dalam mengharungi cabaran kehidupan hari ini yang semakin moden dan terbuka, mendidik anak menjadi tugas yang semakin sukar sekali gus memerlukan kemahiran dan pengetahuan tersendiri sebagai panduan menjadikan mereka manusia yang berilmu.

Tetapi sekiranya ibu bapa dikurniakan dengan anak pintar, itu merupakan satu 'bonus' yang seharusnya disyukuri malah mereka tidak seharusnya mendabik dada dengan apa yang diberikan.

Walaupun begitu, mereka harus pandai serta tahu bagaimana hendak mengendalikan anak pintar kerana sekiranya tersilap 'percaturan' keistimewaan yang dimiliki tidak akan berkembang.

Presiden Persatuan untuk Kanak-Kanak Bergeliga Malaysia (NAGCM), Zuhairah Ali berkata, hari ini dalam setiap populasi di negara ini, peratusan kanak-kanak pintar ialah dua peratus.

''Di Malaysia populasi kanak-kanak yang berumur antara 0 hingga 14 tahun pada tahun 2008 sahaja mempunyai 8.9 juta dan dua peratus daripada angka tersebut ialah 178,000 orang.

''Ini bermakna kita mempunyai ramai kanak-kanak pintar tetapi mungkin 'keistimewaan' ini tidak dapat dikesan oleh ibu bapa atau tidak nampak menjadikan mereka ini seperti kanak-kanak normal yang lain.
''Sehubungan itu ibu bapa sendiri perlu peka di samping menyokong dan menggalakkan apa yang ingin mereka lakukan,'' ujarnya ketika di temui di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Bagaimanapun jelas beliau, kanak-kanak pintar yang diklasifikasikan tidak semestinya pintar di dalam semua bidang tetapi hanya di dalam sesuatu bidang sahaja.

Malah kepintaran itu sendiri mempunyai tahap yang berbeza-beza seperti sangat pintar dan sederhana.
Tambah beliau, secara asasnya kepintaran kanak-kanak ini dapat dikenalpasti dengan memerhatikan perkembangan mental mereka yang lebih cepat berbanding rakan sebaya.

Sebagai contoh, anak yang berusia 10 bulan sudah pandai membaca ataupun anak yang berusia setahun sudah pandai bermain piano.

Begitu juga kebolehan kanak-kanak berusia 10 tahun menyelesaikan soalan Matematik peringkat sekolah menengah.

Mengulas lanjut mengenai ada sesetengah ibu bapa mengatakan kanak-kanak pintar ini tidak sesuai belajar di sekolah biasa sebenarnya salah.

Ini kerana menurut Zuhairah, mereka yang dikategorikan pintar hanya di dalam bidang-bidang tertentu dan bukannya semua malah usia mereka memerlukan mereka bergaul dengan rakan sebaya dan digalakkan bersekolah seperti kanak-kanak normal untuk perkembangan sosio- emosi masing-masing.

''Dalam hal ini, apa yang boleh dilakukan ialah ketika di sekolah, guru-guru perlu memberikan perhatian khusus kepada kanak-kanak pintar ini.

''Walaupun hari ini tidak ramai kanak-kanak pintar yang dapat dikesan, tetapi perlu adanya program khas untuk mereka.

''Pada masa yang sama, misalnya kanak-kanak tersebut pintar dalam mata pelajaran Matematik, guru perlu mengasingkan mereka ini daripada rakan yang lain hanya khusus untuk mata pelajaran tersebut,'' katanya.
Beliau yang juga merupakan pemilik Taman Pendidikan Raihan berkata, dalam hal ini ibu bapa juga perlu bersedia dan jangan cepat panik.

Malah mereka perlu meningkatkan pengetahuan dengan meluaskan pembacaan selain melayari laman web berkaitan.

Di NAGCM sendiri turut mengaturkan pelbagai program khusus buat ibu bapa dalam usaha menambah ilmu serta memberi pengetahuan yang lebih mendalam bagaimana hendak mengendalikan anak-anak pintar ini.
Ibu bapa jelas beliau, seharusnya memberikan perhatian yang sewajarnya kepada anak-anak pintar ini dan bukannya hanya membiarkan mereka tanpa sebarang bantuan atau sokongan.

Menurut Zuhairah lagi, NAGCM sentiasa membuka pintu bagi ibu bapa yang ingin menjadi ahli dan ia tidak hanya untuk ibu bapa yang mempunyai anak-anak pintar.

Saturday, January 9, 2010

Luahan hati anak-anak yatim




kanak-kanak gembira dapat mengekspresikan perasaan mereka di atas kanvas.





MELUAHKAN apa yang terpendam ke atas kanvas adalah antara cara untuk menterjemahkan perasaan yang tersimpan di relung hati.

Bermain dengan warna daripada jaluran-jaluran emosi sedikit sebanyak memberi kelegaan walaupun seorang kanak-kanak.

Apatah lagi yang pernah mengalami kepahitan dalam hidup seperti kehilangan ibu dan ayah.

Malah perbandingan kehidupan yang dilalui oleh seorang anak yang mempunyai ibu bapa dengan kanak-kanak yang hidup sebatang kara atau mempunyai 'kisah-kisah hitam' terlalu banyak bezanya.

Bagi anak-anak yang mempunyai keluarga, agak beruntung kerana memperoleh banyak perhatian, kasih sayang dan dipenuhi keperluan yang diingini berbanding dengan mereka yang kehilangan tempat bergantung dan mengalami hidup dalam kemiskinan.

Sehubungan itu, sesuatu harus dilakukan bagi memberi sedikit sentuhan kasih sayang dan keprihatinan kepada golongan kanak-kanak yang tidak bernasib baik ini.

Baru-baru ini, penghuni tujuh buah rumah anak yatim di sekitar Lembah Klang dijemput oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Persatuan START Selangor dan Wilayah Persekutuan, (sebuah akademi seni) untuk merasai pengalaman melukis menerusi program Paint N Play.

Program Paint N Play ini membolehkan kanak-kanak bermain dengan cat warna dan emosi mereka.
Berekspresi dengan diri sekurang-kurangnya dapat mengurangkan duka yang dirasai.

Kanak-kanak yang rata-ratanya anak yatim itu diberikan peralatan lukisan seperti kanvas, cat air dan palet untuk mengekspresikan apa sahaja yang mereka rasakan.

Bertempat di Milk & Co, bangunan Manulife di Damansara Height, baru-baru ini, kanak-kanak tersebut yang berusia antara lima hingga 17 tahun tidak mensia-siakan peluang yang diberikan itu.
Bagi 70 anak yatim tersebut, inilah pengalaman yang julung-julung kalinya pernah dirasainya.
Menurut Pengarah Urusan Milk &Co, Neal Estavillo, program ini memberi kebebasan kepada kanak-kanak ini meluahkan apa sahaja yang mereka rasai atau apa sahaja yang mereka lihat di atas kanvas.
''Terlalu sukar untuk mereka luahkan isi hati serta ketidakpuasan hati mereka tetapi dengan lukisan kita dapat menyelami hati mereka.

''Lagipun, mereka pun bukan selalu mendapat peluang seperti ini. Selalunya mereka mungkin terikat kepada peraturan tertentu dalam melukis,'' ujarnya serius.

Jelasnya lagi, inilah masanya untuk mereka bebas melukis apa sahaja yang mereka kehendaki.

''Bagi mereka yang gembira, kita dapat melihat mereka melukis bunga, kapal terbang atau binatang.

''Tetapi kita juga berasa sayu apabila melihat ada antara mereka yang melukis rumah, menggambarkan ibu, bapa dan keluarga," katanya yang aktif menjalan aktiviti seni seperti tarian dan juga drama.

Malah menurutnya, terdapat sinaran keterujaan tergambar pada wajah kanak-kanak itu semasa sedang ralik melukis di dinding bangunan tersebut.

Aneka lukisan dapat dilihat daripada cetusan kreativiti dan ekspresi kanak-kanak ini.
Tegas Estavillo, walaupun melukis dilihat sebagai aktiviti yang ringkas namun ia sebenarnya mempunyai kandungan yang tersirat.

''Selain daripada pembelajaran yang formal, lukisan juga boleh mendatangkan ketenangan pada diri sendiri.
"Program seumpama ini juga mampu memberi inspirasi kepada anak-anak yatim supaya mereka meminati bidang lukisan.

''Walaupun ia dilihat tidak mampu pergi lebih jauh namun ia sebenarnya boleh melangkah ke arah lebih jauh,'' katanya.

Selain itu jelasnya, program ini juga merupakan tanggungjawab sosial terhadap anak-anak yatim bagi merealisasikan impian mereka sebagai pelukis.

Memang tidak dinafikan pelajaran adalah penting bagi mereka untuk menjaminkan kehidupan yang lebih sempurna pada masa depan namun lukisan juga sebenarnya mampu memberi ketenangan kepada mereka bagi meluahkan isi hati yang terbuku.

Tuesday, January 5, 2010

Pesona hibrid Lumix GF-1









KECIL, mudah digunakan dengan lensa yang mempunyai pusingan fokus yang laju antara kehebatan yang ada pada hibrid kamera lensa tunggal refleks digital (DSLR), Panasonic Lumix GF-1.

Walaupun Panasonic baru sahaja mengumumkan dua kamera yang menggunakan teknologi Micro Four Thirds sejak dua tahun kebelakangan, reka bentuk serta teknologi yang diperkenalkan melalui Lumix GF-1 membuatkan konsumer mahu Panasonic meneruskan pembangunan teknologi kamera hibrid itu.

Walaupun pada ketika saingan terdekat yang juga rakan industri, Olympus memperkenalkan hibrid mereka EP-1, Panasonic nampaknya tidak gusar.

Ini berikutan, Lumix GF-1 yang sarat dengan teknologi masa kini mempunyai kelas yang tersendiri dan tanpa perlu bersaing dengan apa yang disediakan pada EP-1.

Malah, pelancaran Olympus EP-2 baru-baru ini juga tidak menggugat prestasi semasa Lumix GF-1 menurut kata pengguna hibrid DSLR ini.

Apa yang pasti, Lumix GF-1 mampu terus bertahan dalam tempoh dua tiga tahun sebelum model baru dikeluarkan.

Ini berikutan, ciri-ciri yang dipertingkatkan pada Lumix GF-1 masih tidak dapat 'dilawan' oleh EP-1 atau EP-2 di mana lensa dengan fokus yang lebih laju memberikan trademark utama Lumix GF-1.
Turut didatangkan dengan lensa kit Pancake 20mm F1.7 atau 14-45mm F3.5 - 5.6 O.I.S., untuk Lumix GF-1 berada dalam kelas tersendiri.

Selain itu pengenalan flash bina dalam yang kini membuatkan jurutera Olympus 'pecah kepala' memikirkan cara untuk mereka bentuk hibrid mereka, menjadikan Lumix GF-1, satu-satunya hibrid DSLR lengkap tanpa sebarang pilihan aksesori tambahan.

Menjadi pelopor penilik pandangan elektronik (LVF), penggunaan aksesori tambahan ini mampu memberikan pandangan 202,000 dot dengan 60 pusingan sesaat dan sedikit pembesaran sekitar 1.04x.
Lebih menarik, LVF Lumix GF-1 ini juga mampu ditolak ke atas bagi membolehkan pengguna merakamkan gambar dari sudut yang sukar.

Reka bentuk yang menarik, elegan serta mudah dikendalikan menjadikan Lumix GF-1 antara rebutan jurufoto amatur mahupun profesional.

Dengan berat 456 gram, ia menjadi kamera gantian kepada jurufoto profesional untuk bantuan jika sesuatu terjadi kepada kamera utama mereka sewaktu melakukan tugasan penting.
Ini berikutan, Lumix GF-1 walaupun kecil menggunakan sensor Micro Four Thirds yang memberikan 12.1 megapiksel efektif.

Selain itu, pengenalan butang satu sentuh rakaman video definisi tinggi (HD) juga memberikan kelebihan kepada pengguna tanpa perlu menukar dail ke rakaman video yang mampu merakamkan HD 1280 x 720.
Sehingga kini, Lumix GF-1 mampu menggunakan 6 lensa Micro Four Thirds Lumix G sedia ada yang lebih kecil dan ringan berbanding lensa konvensional yang lain.
Malah, Lumix GF-1 juga turut boleh menggunakan lensa Leica DG dan lensa Olympus tanpa perlu menggunakan pemadan.

Lebih menarik, pengguna Lumix GF-1 juga turut boleh menggunakan lensa Leica D, Sigma dan Olympus Four Thirds dengan pemadan DMW-MA1 manakala pemadan MA2M dan MA3R mampu memberikan kebebasan untuk menggunakan lensa Leica M atau R.

Apa pun, dengan perlumbaan hibrid DSLR sekarang, Panasonic akan mengeluarkan tiga lagi lagi lensa Micro Four Thirds baru untuk tahun hadapan di mana menyaksikan 100-300mm F4-5.6 OIS, 8mm F3.5 fisheye dan 14mm F2.8 bakal menjadi rebutan pengguna Lumix GF-1.

Layari www.panasonic.com.my/lumix untuk sebarang informasi terkini Lumix GF-1. - MOHD. HAZLI HASSAN