Wednesday, April 28, 2010

RENCANA UTAMA

Resort mewah Pulau Redang




PULAU REDANG di Terengganu merupakan antara pulau yang dikenali kerana keindahan landskap dasar lautnya. Antara tarikan yang sering menjadi sebutan mereka yang pernah berkunjung ke pulau itu ialah kejernihan airnya, batu karang, ekosistem marin yang masih terpelihara dan hutan rimbanya.
Pulau peranginan itu juga sentiasa menjadi sebutan di kalangan penggemar selam skuba dan aktiviti laut seperti snokeling, berkayak dan sebagainya.
Mengambil masa sekitar 45 minit perjalanan dari Jeti Merang, Setiu atau satu jam perjalanan dari jeti Shahbandar Kuala Terengganu, Pulau Redang menawarkan percutian yang cukup berbaloi.
Dengan bayaran sekitar RM300 hingga RM500, pengunjung berpeluang menikmati pakej percutian tiga hari dua malam yang ditawarkan oleh kebanyakan resort di pulau itu.
Baru-baru ini, Kerajaan Negeri Terengganu mencadangkan untuk hanya meluluskan pembangunan resort mewah bertaraf lima bintang di pulau itu.
Cadangan itu bagaimanapun mendapat reaksi pelbagai pihak terutamanya daripada golongan berpendapatan sederhana.
Namun ramai yang tidak bersetuju dengan cadangan tersebut kerana berpandangan ia tidak wajar dan akan memberi kesan kepada banyak pihak.

PULAU REDANG juga menawarkan penginapan untuk pelancong bajet rendah.


Mereka yang terkena tempias itu termasuklah pelancong tempatan, pengusaha resort sederhana, pengusaha bot, pemandu pelancong dan penduduk kampung di pulau itu.
Seorang pengunjung yang juga penyelenggara alat keselamatan dari Petaling Jaya, Vincent Tan, 26, memberitahu, dia juga turut merasa tempiasnya jika benar resort mewah dibangunkan di Pulau Redang.
"Sudah tiga kali saya ke pulau ini dan kali ini saya membawa keluarga," katanya yang hanya membelanjakan sekitar RM500 seorang untuk percutian selama tiga hari dua malam.
Jelasnya, berbanding pulau lain, Pulau Redang merupakan destinasi terbaik percutian kepada mereka yang gemarkan aktiviti sukan air. Jika benar perubahan itu dilakukan, maka dia terpaksa memilih lokasi lain untuk bercuti.
"Jika perubahan itu dilakukan sekarang, maka ia sudah terlambat kerana hampir 80 peratus batu karang di Pulau Redang sudah mati.
"Biarlah tempat ini kekal begini dan buka peluang kepada semua orang untuk datang ke pulau ini kerana penguatkuasaan sepatutnya dilakukan sejak dahulu lagi," kata Tuan Harun Mahmud, 61, yang melihat perkembangan pulau tersebut sejak berkunjung ke situ sekitar tahun 1980-an.
Jelas Tuan Harun, jika kerajaan tetap mahu melaksanakan cadangan tersebut, beliau mencadangkan supaya ia dilakukan di pulau-pulau lain di Terengganu seperti Pulau Bidong dan Pulau Tenggol yang masih belum dibangunkan.
Seorang pesara yang kini membantu isterinya mengusahakan sebuah resort di pulau itu yang hanya mahu dikenali sebagai Harris, 59, memberitahu, tindakan itu seperti mahu mengambil jalan mudah untuk mengatasi masalah di pulau itu.
"Mengehadkan bilangan pengunjung yang datang ke sini bukan caranya sebab ia seolah-olah menafikan hak kebanyakan orang," katanya.
Kepada pengusaha calet, Azmi Ali, pintu rezekinya dan penduduk kampung mungkin akan terjejas dengan pelaksanaan pembangunan itu kerana mereka tidak mampu untuk menyediakan kemudahan bertaraf lima bintang.
"Saya telah mula mengusahakan resort ini kira-kira dua dekad lalu tetapi ini sahaja kemudahan yang mampu saya sediakan," katanya sambil menunjukkan beberapa buah bilik di resort miliknya yang tanpa status sebarang bintang.
Sementara itu pengusaha bot pelancong, Azahari Che Razak, 26, memberitahu, kadar yang dikenakan bagi percutian ke pulau itu buat masa ini masih dianggap terlalu tinggi terutama kepada pelancong tempatan.

AKTIVITI selam skuba antara tarikan utama di Pulau Redang.


Pendapatan terjejas
Andai cadangan itu diteruskan, maka ia akan menambah beban pelancong sekali gus menjadikan percutian ke Pulau Redang sebagai angan-angan sahaja.
"Ia akan menyebabkan orang ramai tidak datang ke pulau itu dan akan menjejaskan pendapatan kami," katanya yang menyediakan perkhidmatan bot pergi balik dari Jeti Merang ke Pulau Redang dan Lang Tengah.
Bagi Azmi Awang, 23, yang berasal dari pulau itu, dia sanggup untuk kembali ke kampung halamannya selepas sekian lama merantau mencari rezeki sebagai pemandu pelancong dengan bot pemberian bapanya.
"Pendapatan saya di sini agak baik sebab ramai pelancong datang tetapi saya tidak tahu bagaimana pula nasib saya dan penduduk kampung lain selepas ini sekiranya pulau ini berubah wajah," katanya.
Bagi Maria Harris, 22, dia juga risau jika pulau itu dieksklusifkan kerana mungkin orang ramai akan memilih untuk melancong ke luar negara memandangkan tiket penerbangan ketika ini cukup murah.
Bagaimanapun, beberapa pihak pula berpandangan cadangan untuk mengeksklusifkan pulau itu perlu dilakukan kerana pulau tersebut sudah tidak seindah seperti sebelum ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung dan juga imam Pulau Redang, Ladin Awang, 71, memberitahu, sudah banyak perubahan yang dilihatnya sepanjang tempoh dia membesar dan mendirikan keluarga di pulau itu.
"Terlalu ramai orang datang ke sini menyebabkan pulau ini jadi kotor dan kehidupan karang juga terjejas.
"Ikan di sekitar pulau ini juga sudah berkurangan," katanya yang merupakan generasi ketiga keluarganya yang menetap di pulau itu.
Langkah untuk menaiktaraf Pulau Redang katanya adalah wajar dan beliau tidak risau dengan rezeki penduduk di pulau itu kerana mereka tetap boleh menumpang rezeki resort mewah di pulau tersebut.

DUA remaja tempatan Pulau Redang meraih pendapatan dengan membawa pelancong untuk aktiviti snorkeling.


"Pada masa sekarang pun ramai penduduk kampung yang bekerja di beberapa buah resort mewah di kawasan ini terutamanya Berjaya Redang Resort," katanya.

Thursday, April 15, 2010

Misi tubuh perpustakaan rumah anak yatim

DEMI hasrat untuk menubuhkan perpustakaan rumah anak yatim, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islamic Relief Malaysia (IRM) menganjurkan aktiviti jelajah amal iaitu Ekspedisi Merdeka 1Malaysia (EM1M) bagi mengumpul dana dan merealisasikan matlamat tersebut. 

Ekspedisi bermotosikal kuasa tinggi itu akan merentasi 18 buah negara dari Kuala Lumpur ke London dalam masa dua bulan mulai 1 Julai sehingga 31 Ogos ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan IRM, EM1M akan diketuai oleh Azizi Hashim dan disertai oleh empat penunggang motosikal yang mewakili kaum Melayu, Cina, India dan Kadazandusun.
Sasaran EM1M ialah untuk mengumpul dana sejumlah RM 2 juta bagi membolehkan sebanyak 40 buah perpustakaan anak yatim dibina di seluruh negara.

''Setiap penunggang motosikal yang menyertai ekspedisi berkenaan akan mengumpulkan dana bagi membiayai penubuhan 10 buah perpustakaan khusus untuk rumah anak yatim kaum masing-masing.
''Laporan semasa mengenai EM1M akan dilaporkan secara eksklusif oleh Utusan Malaysia selaku rakan media," kata kenyataan itu.

Ketua ekspedisi EM1M, Azizi berkata, ekspedisi berkenaan akan menggunakan lima buah motosikal Kawasaki Versys dari Kuala Lumpur ke London dan melibatkan perjalanan sejauh 22,000 kilometer.
''Antara negara yang akan dilalui EM1M ialah Thailand, Laos, China, Kyrgystan, Uzbekistan, Turkmenistan, Iran, Turki, Bulgaria, Romania, Hungary, Austria dan Slovenia. Turut dilalui oleh anggota ekspedisi ialah Itali, Switzerland, Perancis dan Jerman. Anggota ekspedisi dijadualkan tiba di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London pada 31 Ogos 2010 untuk menyambut ulang tahun Hari Kemerdekaan ke-53 bersama rakyat Malaysia di sana," demikian kenyataan Azizi dalam laman blog rasmi EM1M iaitu xpdc1malaysia.blogspot.com.
 
Islamic Relief yang ditubuhkan pada 1984 di Birmingham, United Kingdom merupakan badan kemanusiaan Islam pertama yang diwujudkan di Eropah. Ia diasaskan oleh Dr. Hany Al-Banna selepas melihat masalah kebuluran di sub-Sahara Afrika. Ibu pejabat Islamic Relief kekal di Birmingham sehingga kini.
Pada tahun 1988, Islamic Relief memiliki kapasiti untuk menubuhkan pasukan yang mampu melaksanakan pelbagai fungsi. Dalam tahun 1993, Islamic Relief diberikan status konsultatif oleh Majlis Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Pada masa yang sama, lebih banyak pejabat Islamic Relief dibuka di Eropah seperti di Albania, Belgium, Bosnia, Croatia, Jerman, Perancis, Itali, Belanda, Switzerland dan Amerika Syarikat (AS).
Sehingga kini, Islamic Relief bergiat aktif dalam memberikan bantuan kecemasan dan pembangunan kemanusiaan di Afghanistan, Albania, Bangladesh, Bosnia, Chad, Checnya, China, Mesir, Ethiopia, Indonesia dan Iraq. Negara lain yang pernah menerima bantuan Islamic Relief ialah Jordan, Kenya, Kosovo, Lebanon, Malawi, Mali, Nigeria, Pakistan, Somalia, Sudan dan Yemen.

Sementara di Malaysia, IRM ditubuhkan pada tahun 2005 dengan misi untuk menyokong sebarang usaha mengumpul dana dan melaksanakan bantuan Islamic Relief di rantau ini. IRM juga memainkan peranan meningkatkan kesedaran mengenai Islamic Relief dan menyebarkan maklumat terkini mengenai perkembangan pertubuhan berkenaan di peringkat global kepada rakyat Malaysia.

Selain mengumpul dana, IRM turut melaksanakan program-program pembangunan komuniti, ekonomi dan sosial di Malaysia untuk golongan berpendapatan rendah, anak yatim, ibu tunggal, warga emas dan golongan kurang upaya.