Sunday, January 17, 2010

Gerhana matahari separa

Selepas ijtimak, bulan teranjak dari penjajarannya dengan garisan bumi-matahari. Ini sekali gus menandakan bermulanya proses pembentukan anak bulan.



JUMAAT lalu, rakyat Malaysia dapat menyaksikan satu lagi tanda kebesaran Allah dalam mengatur perjalanan alam semesta yang maha luas, iaitu fenomena gerhana matahari separa.
Fenomena alam itu berlaku apabila matahari, bulan serta bumi berada dalam satu garisan dan satah yang dinamakan sebagai penjajaran sempurna.

Secara keseluruhannya, fenomena tersebut dilihat menerusi lintasan selebar 300 kilometer (km) yang merentasi Afrika Tengah, Lautan Hindi dan Asia Timur. Di sesetengah kawasan, mereka dapat menyaksikan gerhana matahari anulus iaitu berbentuk cincin disebabkan bulan tidak menutupi matahari sepenuhnya.
Di Malaysia, banyak pihak telah mengadakan program tertentu seperti pencerapan gerhana di beberapa lokasi sesuai, menganjurkan solat sunat kusuf (gerhana matahari) dan khutbah khas sempena kejadian tersebut.

Apa yang pasti, fenomena gerhana sebenarnya mengajak manusia agar sentiasa merenungi kebesaran Ilahi yang berkuasa melakukan sesuatu mengikut kehendak-Nya.

Penentuan Takwim Hijri

Di samping itu, kejadian gerhana juga mempunyai hubung kait dengan penentuan takwim Hijri (Hijrah) atau kalendar Islam.

Menurut Pensyarah Unit Falak dari Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Darul Iman (UDM), Dr. Baharrudin Zainal, geometri fasa bulan bermula dengan keadaan ijtimak, di mana matahari, bulan dan bumi berada dalam satu garisan.

Sementara gerhana matahari pula berlaku apabila ketika ijtimak, matahari, bulan dan bumi berada pada satu satah. Dalam keadaan lain ketika ijtimak, bulan tidak berada pada satah yang sama dengan garisan matahari-bulan.

"Oleh itu, ijtimak yang berlaku berpadanan dengan gerhana matahari, membolehkan manusia menyaksikan fenomena yang berangkai ini, iaitu ijtimak dan gerhana matahari.

"Selepas ijtimak, bulan akan teranjak dari penjajarannya dengan garisan bumi-matahari sekali gus menandakan bermulanya proses pembentukan anak bulan," jelas Dr. Baharrudin dalam satu kiriman e-mel kepada Kosmo! baru-baru ini.

Ujar beliau lagi, ketika fasa bulan purnama pula, bulan berada pada kedudukan paling luar dalam garisannya dengan matahari dan bumi.

Dalam keadaan yang dinamakan sebagai istiqbal, cahaya matahari jatuh sepenuhnya ke permukaan bulan (fasa bulan purnama). Walau bagaimanapun, sekiranya matahari, bulan dan bumi berada pada satu satah ketika ini (istiqbal), gerhana bulan pula akan berlaku.

BAHARRUDIN ZAINAL


"Bahagian gelap pada permukaan bulan yang dilihat dari bumi sebagai formasi gerhana, sebenarnya ialah bayang-bayang bumi. Maka, gerhana matahari berlaku pada akhir bulan Hijri (pada hari ke 29). Sementara gerhana bulan pula berlaku pada malam bulan purnama (sama ada malam ke-14 atau 15)," katanya.
Berdasarkan rekod, pada awal pagi 1 Januari 2010, (bersamaan 15 Muharam), rakyat Malaysia telah dapat menyaksikan fenomena gerhana bulan separa. Manakala pada 15 Januari lalu, (bersamaan 29 Muharam), berlaku pula gerhana matahari.
Mengikut data pergerakan bulan dan matahari pada tarikh tersebut (15 Januari 2010), kemuncak gerhana matahari anulus berlaku pada pukul UT 07.07 (bersamaan jam 3.07 petang waktu Malaysia).
Ketika itu, bulan dan matahari berada segarisan dengan titik bumi di tengah-tengah Lautan Hindi, pada latitud 01° 37' Utara dan longitud 69° 17' Timur, bersamaan waktu tengah hari bagi tempat ini (berdekatan dengan kepulauan Maldives).

Dengan halaju purata pergerakan bulan 13°/hari berbanding matahari pada kadar 1°/hari, bulan memintas ke timur matahari selepas kemuncak gerhana. Semakin jauh bulan berpisah dengan matahari (atau semakin lama mengikut masa), bahagian bulan yang bercahaya mula kelihatan dari Bumi. Bahagian bercahaya dalam bentuk 'jaluran sabit yang halus' disebut anak bulan.

PENGGUNAAN cermin mata khas digalakkan bagi mengelakkan berlakunya masalah kerosakan mata.


"Dalam konteks penyediaan takwim Hijri, anak bulan yang wujud selepas ijtimak hendaklah disabitkan dengan kenampakannya secara fizikal ataupun dinilai mengikut syarat jangkaan kenampakan (imkannur rukyah).

Berdasarkan keputusan cerapan anak bulan yang dilakukan untuk satu tempoh yang lama, ahli-ahli falak dalam pelbagai tamadun telah menerbitkan model bagi syarat kenampakan tersebut dengan kuantiti tertentu.
"Antara kuantiti yang digunakan untuk membuat justifikasi kenampakan anak bulan ialah umur bulan selepas ijtimak, ketinggiannya di atas ufuk, jarak sendeng kedudukannya dengan matahari atau kadar cahayanya," terang Dr. Baharrudin lagi.

Penetapan Awal Safar 1431H

Oleh itu, berdasarkan senario pada 15 Januari 2010 bersamaan 29 Muharam 1431H, bulan terbit kira-kira lapan minit lebih awal berbanding matahari, menunjukkan selisih kedudukan kedua-dua objek itu.
Selepas kemuncak kejadian gerhana (kira-kira jam 4.30 petang), bulan dan matahari mengalami proses pemisahan bagi pembentukan fasa bulan seterusnya. Menjelang waktu Maghrib di Kuala Terengganu pada jam 7.12 petang, bulan didapati telah melepasi hanya satu bulatan cakera matahari sahaja.
Menurut hitungan, bulan ketika itu (iaitu anak bulan Safar 1431H) berada kurang satu minit sahaja di atas ufuk. Anak bulan dalam keadaan ini disifatkan sebagai 'tidak wujud' kerana tidak memenuhi syarat fizikal kenampakannya.

"Justeru, tarikh 16 Januari 2010 bersamaan 30 Muharam dan 1 Safar 1431H jatuh pada hari Ahad, bersamaan 17 Januari 2010," ujarnya sambil memaklumkan bahawa pada petang 30 Muharam (Sabtu malam Ahad), anak bulan Safar berada setinggi 10½° selama hampir 50 minit di atas ufuk.
Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa Malaysia akan mengalami dua gerhana anulus pada 21 Mei 2031 dan 14 Oktober 2042.

Dari korporat ke dunia perniagaan




jubah-jubah elegan dan sesuai untuk ke pelbagai majlis boleh diperoleh di butiknya.





PERKEMBANGAN dunia fesyen busana Muslimah semakin ketara pada masa kini, malah dari hari ke hari ia semakin menjadi pilihan sebagai fesyen seharian.
Sama ada dari pakaian untuk bersantai atau sebagai pakaian formal ke majlis, kini terdapat pelbagai rekaan yang memikat hati serta menepati pemakaian sebagai Muslimah moden.

Situasi ini jugalah yang membuatkan ramai pereka telah mula menghasilkan pakaian Muslimah yang elegan, anggun lagi bergaya.

Tidak terhenti hanya pada pakaian, malah penghasilan tudung yang pelbagai gaya dan rekaan juga telah membanjiri pasaran.

Melihatkan permintaan yang sentiasa ada dan keterujaan wanita untuk memilih pakaian Muslimah, maka terdetik di hati seorang wanita yang mempunyai minat ke arah perniagaan untuk turut menceburi dalam bidang penjualan busana Muslimah.

Nik Aida Wan Muda, 40, yang pernah berkhidmat dalam bidang korporat lebih 25 tahun telah beralih angin ke dunia perniagaan bagi memenuhi cita-citanya yang telah lama terpendam.

''Memikirkan sampai bila harus bekerja makan gaji membuatkan saya nekad untuk beralih arah dan mencuba nasib dalam bidang perniagaan.

''Tambahan pula melihat perkembangan fesyen di kalangan wanita moden yang bekerja menimbulkan ilham untuk menubuhkan Selendang Cahaya Aida selepas mendapat restu suami dan juga orang tua,'' ujarnya ketika ditemui di butik miliknya yang terletak di Carrefour Ampang baru-baru ini.

Walaupun beliau tidak mempunyai pendidikan formal dalam perniagaan namun wanita kelahiran Che Siti Wan Kembang ini sanggup bermula dari bawah.

''Pada awalnya, saya hanya menjual kecil-kecilan semasa bekerja di pejabat dan dari situ timbul minat untuk melangkah ke arah yang lebih jauh,'' ujarnya menceritakan pengalaman.

Jelasnya, ketika mengambil keputusan untuk berhenti kerja, ramai juga kenalan yang menasihatkan saya kerana bimbang akan mengalami kerugian dalam bidang yang baru diceburi.

''Namun kini, saya berjaya membuktikan walaupun tanpa pendidikan formal dalam bidang perniagaan, saya mampu melakukan,'' akui ibu kepada empat orang cahaya mata.

Bergelar ahli perniagaan berjaya pada masa sama memikul tanggungjawab sebagai ibu dan isteri sememangnya dilihat agak membebankan. Namun bagi Nik Aida semua itu adalah antara pengorbanan yang dilakukan untuk berjaya pada hari ini.

tanggungjawab

''Namun sesibuk mana pun saya, tanggungjawab sebagai ibu dan isteri tidak pernah diabaikan malah setiap masa yang terluang akan dihabiskan bersama mereka,'' ujar isteri kepada Zakaria Awang Lah, 48.
''Pada awalnya bukan mudah untuk memajukan perniagaan ini tetapi keluarga terutama suami memberi sokongan,'' ujarnya bersungguh.

Menceritakan lagi keadaan semasa awal pembukaan butiknya, beliau terpaksa berulang alik ke Indonesia dan juga Vietnam untuk mencari rekaan yang terbaik untuk pasaran di butiknya.

''Malah ketika itu, setiap minggu saya berulang antara Kuala Lumpur ke Jakarta dan juga Vietnam. Setiap kali pulang ke rumah, anak-anak sudah tidur.

"Namun pada ketika itu, saya tekadkan dalam hati bahawa setiap usaha yang dilakukan akan digantikan dengan kejayaan,'' katanya.

Kini, selain menjual pakaian Muslimah seperti jubah dan juga tudung-tudung, turut disediakan juga ialah barangan persediaan untuk mengerjakan haji dan juga umrah.

''Saya mementingkan kepuasan pelanggan dan sedia memberi sentuhan peribadi terutama khidmat rundingan mengenai warna, fabrik dan fesyen yang sesuai dengan penampilan pelanggan.

''Kami menempah rekaan ini dari Indonesia untuk mendapat kepuasan yang tersendiri selain kualiti yang lebih terjamin," katanya yang mempunyai pereka sendiri di Indonesia.

Mengenai fesyen pula, Nik Aida memberitahu, ia tidak terbatas kepada jubah semata-mata sebaliknya sut formal ke pejabat juga turut disediakan di butiknya.

Katanya, Selendang Cahaya Aida akan memastikan harga yang ditawarkan lebih berdaya saing selain memberi perhatian terhadap kualiti dan rekaan.

''Saya percaya, kalau disebut sahaja butik, orang akan beranggapan apa yang ditawarkan di sini semuanya mahal .

''Namun di butik ini, saya memberi jaminan bahawa apa yang ditawarkan jauh lebih murah berbanding apa yang ditawarkan oleh butik-butik lain," akuinya lagi.

Sebagai peniaga, beliau turut memberi reaksi positif setiap komen atau ketidakpuasan pelanggan.
Jelasnya, setiap apa yang dikatakan oleh pelanggan merupakan satu anjakan untuk dia terus maju ke hadapan.

Wednesday, January 13, 2010

Anak pintar 'bonus' ibu bapa

http://www.utusan.com.my




Ibu bapa dan guru perlu memberi perhatian yang sewajarnya kepada anak-anak pintar ini dan bukannya hanya membiarkan mereka tanpa sebarang bantuan atau sokongan.





ANAK adalah anugerah Allah SWT yang tidak ada tolok banding nilainya. Tiada harta yang paling berharga di dunia melainkan seorang anak yang diamanahkan sebagai penyambung keturunan.

Tidak mungkin ada yang dapat menyangkal kenyataan bahawa kehadiran anak melengkapkan 'makna' sebuah keluarga.

Ibarat kain putih yang bersih, ibu bapa diberi tanggungjawab untuk mencorak anak yang dianugerahkan itu untuk menjadi seorang manusia yang beriman dan beramal soleh.

Bagaimanapun dalam mengharungi cabaran kehidupan hari ini yang semakin moden dan terbuka, mendidik anak menjadi tugas yang semakin sukar sekali gus memerlukan kemahiran dan pengetahuan tersendiri sebagai panduan menjadikan mereka manusia yang berilmu.

Tetapi sekiranya ibu bapa dikurniakan dengan anak pintar, itu merupakan satu 'bonus' yang seharusnya disyukuri malah mereka tidak seharusnya mendabik dada dengan apa yang diberikan.

Walaupun begitu, mereka harus pandai serta tahu bagaimana hendak mengendalikan anak pintar kerana sekiranya tersilap 'percaturan' keistimewaan yang dimiliki tidak akan berkembang.

Presiden Persatuan untuk Kanak-Kanak Bergeliga Malaysia (NAGCM), Zuhairah Ali berkata, hari ini dalam setiap populasi di negara ini, peratusan kanak-kanak pintar ialah dua peratus.

''Di Malaysia populasi kanak-kanak yang berumur antara 0 hingga 14 tahun pada tahun 2008 sahaja mempunyai 8.9 juta dan dua peratus daripada angka tersebut ialah 178,000 orang.

''Ini bermakna kita mempunyai ramai kanak-kanak pintar tetapi mungkin 'keistimewaan' ini tidak dapat dikesan oleh ibu bapa atau tidak nampak menjadikan mereka ini seperti kanak-kanak normal yang lain.
''Sehubungan itu ibu bapa sendiri perlu peka di samping menyokong dan menggalakkan apa yang ingin mereka lakukan,'' ujarnya ketika di temui di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Bagaimanapun jelas beliau, kanak-kanak pintar yang diklasifikasikan tidak semestinya pintar di dalam semua bidang tetapi hanya di dalam sesuatu bidang sahaja.

Malah kepintaran itu sendiri mempunyai tahap yang berbeza-beza seperti sangat pintar dan sederhana.
Tambah beliau, secara asasnya kepintaran kanak-kanak ini dapat dikenalpasti dengan memerhatikan perkembangan mental mereka yang lebih cepat berbanding rakan sebaya.

Sebagai contoh, anak yang berusia 10 bulan sudah pandai membaca ataupun anak yang berusia setahun sudah pandai bermain piano.

Begitu juga kebolehan kanak-kanak berusia 10 tahun menyelesaikan soalan Matematik peringkat sekolah menengah.

Mengulas lanjut mengenai ada sesetengah ibu bapa mengatakan kanak-kanak pintar ini tidak sesuai belajar di sekolah biasa sebenarnya salah.

Ini kerana menurut Zuhairah, mereka yang dikategorikan pintar hanya di dalam bidang-bidang tertentu dan bukannya semua malah usia mereka memerlukan mereka bergaul dengan rakan sebaya dan digalakkan bersekolah seperti kanak-kanak normal untuk perkembangan sosio- emosi masing-masing.

''Dalam hal ini, apa yang boleh dilakukan ialah ketika di sekolah, guru-guru perlu memberikan perhatian khusus kepada kanak-kanak pintar ini.

''Walaupun hari ini tidak ramai kanak-kanak pintar yang dapat dikesan, tetapi perlu adanya program khas untuk mereka.

''Pada masa yang sama, misalnya kanak-kanak tersebut pintar dalam mata pelajaran Matematik, guru perlu mengasingkan mereka ini daripada rakan yang lain hanya khusus untuk mata pelajaran tersebut,'' katanya.
Beliau yang juga merupakan pemilik Taman Pendidikan Raihan berkata, dalam hal ini ibu bapa juga perlu bersedia dan jangan cepat panik.

Malah mereka perlu meningkatkan pengetahuan dengan meluaskan pembacaan selain melayari laman web berkaitan.

Di NAGCM sendiri turut mengaturkan pelbagai program khusus buat ibu bapa dalam usaha menambah ilmu serta memberi pengetahuan yang lebih mendalam bagaimana hendak mengendalikan anak-anak pintar ini.
Ibu bapa jelas beliau, seharusnya memberikan perhatian yang sewajarnya kepada anak-anak pintar ini dan bukannya hanya membiarkan mereka tanpa sebarang bantuan atau sokongan.

Menurut Zuhairah lagi, NAGCM sentiasa membuka pintu bagi ibu bapa yang ingin menjadi ahli dan ia tidak hanya untuk ibu bapa yang mempunyai anak-anak pintar.

Saturday, January 9, 2010

Luahan hati anak-anak yatim




kanak-kanak gembira dapat mengekspresikan perasaan mereka di atas kanvas.





MELUAHKAN apa yang terpendam ke atas kanvas adalah antara cara untuk menterjemahkan perasaan yang tersimpan di relung hati.

Bermain dengan warna daripada jaluran-jaluran emosi sedikit sebanyak memberi kelegaan walaupun seorang kanak-kanak.

Apatah lagi yang pernah mengalami kepahitan dalam hidup seperti kehilangan ibu dan ayah.

Malah perbandingan kehidupan yang dilalui oleh seorang anak yang mempunyai ibu bapa dengan kanak-kanak yang hidup sebatang kara atau mempunyai 'kisah-kisah hitam' terlalu banyak bezanya.

Bagi anak-anak yang mempunyai keluarga, agak beruntung kerana memperoleh banyak perhatian, kasih sayang dan dipenuhi keperluan yang diingini berbanding dengan mereka yang kehilangan tempat bergantung dan mengalami hidup dalam kemiskinan.

Sehubungan itu, sesuatu harus dilakukan bagi memberi sedikit sentuhan kasih sayang dan keprihatinan kepada golongan kanak-kanak yang tidak bernasib baik ini.

Baru-baru ini, penghuni tujuh buah rumah anak yatim di sekitar Lembah Klang dijemput oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Persatuan START Selangor dan Wilayah Persekutuan, (sebuah akademi seni) untuk merasai pengalaman melukis menerusi program Paint N Play.

Program Paint N Play ini membolehkan kanak-kanak bermain dengan cat warna dan emosi mereka.
Berekspresi dengan diri sekurang-kurangnya dapat mengurangkan duka yang dirasai.

Kanak-kanak yang rata-ratanya anak yatim itu diberikan peralatan lukisan seperti kanvas, cat air dan palet untuk mengekspresikan apa sahaja yang mereka rasakan.

Bertempat di Milk & Co, bangunan Manulife di Damansara Height, baru-baru ini, kanak-kanak tersebut yang berusia antara lima hingga 17 tahun tidak mensia-siakan peluang yang diberikan itu.
Bagi 70 anak yatim tersebut, inilah pengalaman yang julung-julung kalinya pernah dirasainya.
Menurut Pengarah Urusan Milk &Co, Neal Estavillo, program ini memberi kebebasan kepada kanak-kanak ini meluahkan apa sahaja yang mereka rasai atau apa sahaja yang mereka lihat di atas kanvas.
''Terlalu sukar untuk mereka luahkan isi hati serta ketidakpuasan hati mereka tetapi dengan lukisan kita dapat menyelami hati mereka.

''Lagipun, mereka pun bukan selalu mendapat peluang seperti ini. Selalunya mereka mungkin terikat kepada peraturan tertentu dalam melukis,'' ujarnya serius.

Jelasnya lagi, inilah masanya untuk mereka bebas melukis apa sahaja yang mereka kehendaki.

''Bagi mereka yang gembira, kita dapat melihat mereka melukis bunga, kapal terbang atau binatang.

''Tetapi kita juga berasa sayu apabila melihat ada antara mereka yang melukis rumah, menggambarkan ibu, bapa dan keluarga," katanya yang aktif menjalan aktiviti seni seperti tarian dan juga drama.

Malah menurutnya, terdapat sinaran keterujaan tergambar pada wajah kanak-kanak itu semasa sedang ralik melukis di dinding bangunan tersebut.

Aneka lukisan dapat dilihat daripada cetusan kreativiti dan ekspresi kanak-kanak ini.
Tegas Estavillo, walaupun melukis dilihat sebagai aktiviti yang ringkas namun ia sebenarnya mempunyai kandungan yang tersirat.

''Selain daripada pembelajaran yang formal, lukisan juga boleh mendatangkan ketenangan pada diri sendiri.
"Program seumpama ini juga mampu memberi inspirasi kepada anak-anak yatim supaya mereka meminati bidang lukisan.

''Walaupun ia dilihat tidak mampu pergi lebih jauh namun ia sebenarnya boleh melangkah ke arah lebih jauh,'' katanya.

Selain itu jelasnya, program ini juga merupakan tanggungjawab sosial terhadap anak-anak yatim bagi merealisasikan impian mereka sebagai pelukis.

Memang tidak dinafikan pelajaran adalah penting bagi mereka untuk menjaminkan kehidupan yang lebih sempurna pada masa depan namun lukisan juga sebenarnya mampu memberi ketenangan kepada mereka bagi meluahkan isi hati yang terbuku.

Tuesday, January 5, 2010

Pesona hibrid Lumix GF-1









KECIL, mudah digunakan dengan lensa yang mempunyai pusingan fokus yang laju antara kehebatan yang ada pada hibrid kamera lensa tunggal refleks digital (DSLR), Panasonic Lumix GF-1.

Walaupun Panasonic baru sahaja mengumumkan dua kamera yang menggunakan teknologi Micro Four Thirds sejak dua tahun kebelakangan, reka bentuk serta teknologi yang diperkenalkan melalui Lumix GF-1 membuatkan konsumer mahu Panasonic meneruskan pembangunan teknologi kamera hibrid itu.

Walaupun pada ketika saingan terdekat yang juga rakan industri, Olympus memperkenalkan hibrid mereka EP-1, Panasonic nampaknya tidak gusar.

Ini berikutan, Lumix GF-1 yang sarat dengan teknologi masa kini mempunyai kelas yang tersendiri dan tanpa perlu bersaing dengan apa yang disediakan pada EP-1.

Malah, pelancaran Olympus EP-2 baru-baru ini juga tidak menggugat prestasi semasa Lumix GF-1 menurut kata pengguna hibrid DSLR ini.

Apa yang pasti, Lumix GF-1 mampu terus bertahan dalam tempoh dua tiga tahun sebelum model baru dikeluarkan.

Ini berikutan, ciri-ciri yang dipertingkatkan pada Lumix GF-1 masih tidak dapat 'dilawan' oleh EP-1 atau EP-2 di mana lensa dengan fokus yang lebih laju memberikan trademark utama Lumix GF-1.
Turut didatangkan dengan lensa kit Pancake 20mm F1.7 atau 14-45mm F3.5 - 5.6 O.I.S., untuk Lumix GF-1 berada dalam kelas tersendiri.

Selain itu pengenalan flash bina dalam yang kini membuatkan jurutera Olympus 'pecah kepala' memikirkan cara untuk mereka bentuk hibrid mereka, menjadikan Lumix GF-1, satu-satunya hibrid DSLR lengkap tanpa sebarang pilihan aksesori tambahan.

Menjadi pelopor penilik pandangan elektronik (LVF), penggunaan aksesori tambahan ini mampu memberikan pandangan 202,000 dot dengan 60 pusingan sesaat dan sedikit pembesaran sekitar 1.04x.
Lebih menarik, LVF Lumix GF-1 ini juga mampu ditolak ke atas bagi membolehkan pengguna merakamkan gambar dari sudut yang sukar.

Reka bentuk yang menarik, elegan serta mudah dikendalikan menjadikan Lumix GF-1 antara rebutan jurufoto amatur mahupun profesional.

Dengan berat 456 gram, ia menjadi kamera gantian kepada jurufoto profesional untuk bantuan jika sesuatu terjadi kepada kamera utama mereka sewaktu melakukan tugasan penting.
Ini berikutan, Lumix GF-1 walaupun kecil menggunakan sensor Micro Four Thirds yang memberikan 12.1 megapiksel efektif.

Selain itu, pengenalan butang satu sentuh rakaman video definisi tinggi (HD) juga memberikan kelebihan kepada pengguna tanpa perlu menukar dail ke rakaman video yang mampu merakamkan HD 1280 x 720.
Sehingga kini, Lumix GF-1 mampu menggunakan 6 lensa Micro Four Thirds Lumix G sedia ada yang lebih kecil dan ringan berbanding lensa konvensional yang lain.
Malah, Lumix GF-1 juga turut boleh menggunakan lensa Leica DG dan lensa Olympus tanpa perlu menggunakan pemadan.

Lebih menarik, pengguna Lumix GF-1 juga turut boleh menggunakan lensa Leica D, Sigma dan Olympus Four Thirds dengan pemadan DMW-MA1 manakala pemadan MA2M dan MA3R mampu memberikan kebebasan untuk menggunakan lensa Leica M atau R.

Apa pun, dengan perlumbaan hibrid DSLR sekarang, Panasonic akan mengeluarkan tiga lagi lagi lensa Micro Four Thirds baru untuk tahun hadapan di mana menyaksikan 100-300mm F4-5.6 OIS, 8mm F3.5 fisheye dan 14mm F2.8 bakal menjadi rebutan pengguna Lumix GF-1.

Layari www.panasonic.com.my/lumix untuk sebarang informasi terkini Lumix GF-1. - MOHD. HAZLI HASSAN